AM

AWAS TAWARAN PALSU VISA MUJAMALAH DI MEDIA SOSIAL - TABUNG HAJI

26/05/2025 10:36 AM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 26 Mei (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) memandang serius peningkatan kes penawaran palsu Visa Mujamalah yang kini giat dipromosikan oleh pihak tidak bertanggungjawab menerusi pelbagai platform media sosial, termasuk Facebook, TikTok dan Instagram.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH) Anuar Ahmad berkata bagi menjamin kebajikan jemaah dan kelancaran ibadah haji, individu yang menerima visa itu disarankan untuk berdaftar dan mengikuti perjalanan haji melalui mana-mana daripada 37 PJH yang telah diberikan lesen sah oleh TH di bawah Seksyen 28 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“Sekiranya Visa Mujamalah ditawarkan oleh syarikat atau individu yang bukan dalam senarai 37 PJH rasmi, ia satu risiko besar. 

“TH tidak mengetahui tahap keupayaan pihak itu, lokasi penginapan jemaah mahupun bentuk perkhidmatan yang akan diberikan. Lebih membimbangkan, mereka tidak tertakluk kepada sebarang pemantauan oleh TH,” katanya ketika ditemui media di sini baru-baru ini.

Anuar berkata hanya agensi yang berdaftar di bawah TH sahaja dibenarkan menguruskan jemaah haji rakyat Malaysia bagi memastikan setiap urusan haji berjalan lancar serta mengelakkan sebarang risiko penipuan atau penyalahgunaan.

“Oleh itu, kami menyeru orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran haji yang meragukan, terutamanya yang menawarkan harga terlalu murah atau terlalu mahal. Elakkan membuat sebarang bayaran pendahuluan atau deposit tanpa pengesahan rasmi daripada TH,” katanya.

Anuar berkata pemberian Visa Mujamalah yang dikeluarkan kepada kumpulan tertentu merupakan hak mutlak kerajaan Arab Saudi dan di luar kuota rasmi negara.

Beliau turut memberi jaminan bahawa TH akan terus memperkukuh pemantauan secara menyeluruh ke atas operasi 37 PJH yang diberi lesen bagi musim haji tahun ini berbanding 25 PJH pada tahun lepas, bagi memastikan kebajikan jemaah Malaysia di Tanah Suci sentiasa terpelihara.

“Lesen PJH hanya dikeluarkan selepas melalui proses permohonan dan penilaian yang ketat oleh TH. Ia sah untuk satu musim haji sahaja tanpa jaminan pembaharuan automatik pada tahun berikutnya. Oleh itu, setiap PJH perlu mengekalkan tahap perkhidmatan yang tinggi secara konsisten,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini sebanyak 28.3 peratus daripada kuota rasmi jemaah haji Malaysia memilih untuk menunaikan haji melalui PJH, manakala selebihnya kekal di bawah pengurusan muassasah. 

Bagaimanapun, Anuar menegaskan bahawa setiap jemaah diwajibkan terlebih dahulu menerima surat tawaran rasmi daripada TH sebelum membuat pilihan pakej yang ditawarkan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan