Oleh Vikneswaran Raman
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas berkata penyertaan negaranya sebagai anggota penuh ASEAN adalah penting bukan sahaja untuk kelebihan ekonomi tetapi juga bagi mempunyai suara yang lebih kuat dalam diplomasi.
Dalam hal ini, beliau optimis untuk memperoleh status keahlian penuh ASEAN menjelang akhir tahun ini semasa Malaysia menjadi Pengerusi, selepas diterima sebagai pemerhati tiga tahun lepas.
Freitas berkata, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) secara beransur-ansur boleh membuka pintu kepada negara berbahasa Portugis dan Tetum itu untuk mencapai keahlian ASEAN.
“Kami telah melakukan yang terbaik melalui aktiviti penyelarasan institusi, selain bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dan menyertai program pembangunan kapasiti. Usaha ini amat penting bagi memenuhi hala tuju yang telah digariskan pada Sidang Kemuncak ke-43 di Labuan Bajo, Indonesia.
“Saya amat menghargai dan memuji Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, yang sangat penting dan menyokong usaha kami. Kami percaya dan yakin sidang kemuncak ini sekurang-kurangnya dengan perlahan-lahan dapat membuka laluan ke arah keanggotaan penuh ASEAN,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di luar persidangan itu hari ini.
Freitas berkata Timor-Leste turut menubuhkan unit khas dalam Sekretariat ASEAN dengan sokongan semua negara anggota, khususnya Malaysia, bagi mempercepat usaha ke arah keanggotaan penuh.
Menurutnya, keanggotaan penuh sangat penting bagi negara kecil berpopulasi 1.4 juta itu, bukan sahaja kerana manfaat ekonomi tetapi juga kerana kedudukan strategiknya antara Indonesia dan Australia dalam kerangka Pandangan ASEAN tentang Indo-Pasifik.
“Sebagai sebahagian daripada keluarga ASEAN, kami bukan sahaja boleh menyumbang tetapi turut menerima manfaat dalam aspek diplomasi, politik, kerjasama serantau dan penglibatan pelbagai hala.
Dengan kedudukan strategik kami dan peranan masa depan dalam ASEAN, Timor-Leste boleh memainkan peranan penting dalam menyokong Pandangan ASEAN terhadap Indo-Pasifik. Kami juga berpotensi memperkukuh kerjasama dengan negara-negara Kepulauan Pasifik, sekali gus menjadi jambatan kepada kerjasama serantau,” katanya.
Ditanya sama ada wujud bantahan daripada mana-mana negara anggota terhadap penyertaan Timor-Leste, beliau berkata kebimbangan yang dibangkitkan adalah berkaitan tahap kesiapsiagaan negara itu dalam memenuhi kriteria yang digariskan dalam hala tuju dan memberi jaminan bahawa Timor-Leste akan terus berusaha gigih dalam beberapa bulan akan datang.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sebelum ini mengadakan pertemuan dua hala bersama Freitas, mengulangi sokongan padu Malaysia terhadap hasrat Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menyatakan sokongan kuat Malaysia bersama Laos terhadap penyertaan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN, pada satu majlis berasingan.
“Kami turut membincangkan penyertaan Timor-Leste dan berharap ia dapat dimuktamadkan pada Oktober ini sekiranya konsensus dapat dicapai dalam mesyuarat esok, terutamanya semasa sesi permukiman,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
Timor-Leste telah mengemukakan permohonan untuk menyertai ASEAN sejak 2011, dan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 pada November 2022, ASEAN telah bersetuju secara prinsip untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11, tertakluk kepada pematuhan kriteria dalam Hala Tuju Keanggotaan Penuh.
Hala tuju itu merangkumi tiga pelan kerja yang memberi tumpuan kepada isu politik dan keselamatan, kerjasama ekonomi serta hubungan sosial dan budaya, yang semuanya perlu dilaksanakan oleh Timor-Leste sebelum diterima secara rasmi.
Negara anggota ASEAN ketika ini terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
-- BERNAMA