Oleh Muhammad Faiz Baharin
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di sini baru-baru ini telah memetakan nama Malaysia di persada dunia sebagai negara yang berani bersuara dan mempunyai kepimpinan tinggi.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban, Negeri Sembilan Shahidah Abdul Razak berkata Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 berjaya memimpin negara blok itu dalam mendepani isu global mahupun serantau secara kolektif.
Beliau berkata ia antaranya melibatkan isu perang dagang termasuk berkaitan tarif dikenakan oleh Amerika Syarikat yang telah memberi kesan kepada beberapa negara ASEAN selain membawa permasalahan atau krisis di Myanmar ke meja rundingan sebagai langkah mencari penyelesaian tuntas.
"Malaysia juga selaku Pengerusi ASEAN berjaya menghasilkan deklarasi (Deklarasi Kuala Lumpur ASEAN 2045: Masa Depan Bersama) yang komprehensif dan holistik dalam mendepani geopolitik yang tidak menentu serta kompleks ketika ini.
"Kita turut berjaya membawa imej neutral serta menjadikan Malaysia dan ASEAN itu secara khususnya sebagai sebuah organisasi serantau yang tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar dunia," katanya kepada Bernama hari ini.
Mengulas lanjut, Shahidah berkata Malaysia juga berjaya menjadi pengantara antara kuasa besar seperti China di rantau ini untuk membincangkan isu berkaitan keselamatan, ekonomi dan sosial termasuk dalam mendepani krisis membabitkan Laut China Selatan.
Beliau berkata kerjasama dengan negara-negara Arab sewaktu berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 juga memberikan gambaran bahawa kepimpinan Malaysia disegani dan dihormati dalam menangani krisis global termasuk isu Palestin.
“Malaysia turut berjaya membawa pengaruh kuasa ASEAN sebagai sebuah organisasi yang mewakili negara ekonomi kecil dan sederhana untuk menjadi sebuah blok berpengaruh melalui pelbagai perjanjian ekonomi tiga hala bersama GCC (Majlis Kerjasama Teluk) dan China,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Profesor Madya Dr Siti Darwinda Mohamed Pero berkata Malaysia berjaya mempengerusikan persidangan kemuncak blok itu dengan membuahkan hasil yang signifikan dan konkrit.
“Kita mengambil tanggungjawab selaku Pengerusi ASEAN 2025 sewaktu ketidaktentuan ekonomi dunia dan kita berjaya seize the moment, mengemudi negara anggota blok ini dan hasilkan beberapa langkah strategik diplomasi yang memberi impak positif pada negara dan ASEAN dalam tempoh singkat.
“Dalam aspek ekonomi misalnya, kita berjaya menjadi tuan rumah mesyuarat ASEAN-China-GCC yang pertama sekali gus membuka jambatan menggabungkan tiga blok ini dalam kerjasama seperti sumber baharu dan kecerdasan buatan selain pada masa sama, mengukuhkan kestabilan geopolitik serantau,” katanya.
Pakar Perang Saraf, Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pula berkata kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN berkait rapat dengan ketokohan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Anwar terbukti sebagai antara pemimpin diplomasi terbaik kerana kepimpinannya bukan sahaja berjaya mengangkat imej ASEAN ke peringkat lebih tinggi malah membawa anjakan dalam konteks memberi keseimbangan hubungan negara blok itu dengan kuasa besar dunia.
“Anwar telah bina satu identiti kepimpinan ASEAN bagi pastikan mereka berada dalam landskap dan situasi politik disegani, mampu bekerjasama dengan mana-mana negara terutama yang mampu memberi kesan positif kepada kemajuan rantau ini.
“Beliau mahu ASEAN mampu bina identiti, bina kekuatan dan berani cuba inovasi berkepentingan ASEAN yang baharu, bukan mengikut sahaja kuasa besar dunia,” katanya.
Noor Nirwandy turut menyifatkan usaha Malaysia mendapatkan persetujuan negara anggota untuk menyokong penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN menjelang Oktober ini sebagai bukti diplomasi kepimpinan Anwar yang mahu merapatkan jurang dalam kalangan negara dan pemimpin di rantau ini.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan' menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan dari 22 hingga 27 Mei lepas.
-- BERNAMA