KLANG, 29 Mei (Bernama) -- Perniagaan digesa menerapkan strategi berdaya tahan, tangkas dan kebolehsuaian dalam operasi mereka bagi mendepani cabaran gangguan rantaian bekalan global memandangkan ketegangan geopolitik semakin menjadi perkara biasa dalam ekonomi global hari ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata landskap semasa menuntut kerjasama serantau untuk mengekalkan kesinambungan rantaian bekalan.
Menurutnya, Malaysia sebagai pemain utama ASEAN komited untuk memupuk perkongsian serantau yang lebih kukuh bagi menangani cabaran tersebut.
"Hanya beberapa hari yang lalu, kita memuktamadkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, satu perhimpunan bersejarah yang mempamerkan kekuatan dan penyelarasan ASEAN dalam mengharungi cabaran global.
“Sidang kemuncak ini memberikan mesej yang jelas kepada dunia, ASEAN terbuka untuk menerima perniagaan, dan kita bersedia untuk memimpin membina ekonomi global yang lebih berdaya tahan dan saling berhubung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah Supply Chain City Malaysia, kompleks logistik pintar YCH Group yang berpangkalan di Singapura, di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata Malaysia sedang bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN untuk melaksanakan Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) yang bertujuan membolehkan pemulihan ekonomi lebih teguh dan mampan di seluruh rantau ini.
Beliau juga berkata salah satu keutamaan Malaysia ialah meningkatkan Tetingkap Tunggal ASEAN (ASW), platform digital yang memperkemas proses perdagangan merentas negara anggota dengan mengurangkan birokrasi dan meningkatkan kecekapan perdagangan.
"ASW akan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan rantaian bekalan serantau dan meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, yang kini menyumbang hampir 25 peratus daripada jumlah perdagangan ASEAN," katanya.
Menurutnya, Malaysia turut memacu pelaksanaan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang bertujuan untuk menyelaras peraturan perdagangan digital dan mempercepat penerimagunaan e-dagang rentas sempadan di seluruh rantau ini.
Beliau juga berkata kedudukan ASEAN semakin penting dalam perdagangan global dengan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) melebihi US$3.6 trilion disokong oleh populasi lebih daripada 680 juta orang.
.“Sebagai blok ekonomi kelima terbesar di dunia, ASEAN merupakan pemain kritikal dalam rantaian bekalan global, menyumbang hampir tujuh peratus daripada perdagangan global,” katanya.
-- BERNAMA