AM

PRABOWO DI MALAYSIA UNTUK SIDANG KEMUNCAK ASEAN PERTAMA SEBAGAI PRESIDEN INDONESIA

25/05/2025 08:47 PM

SUBANG, 25 Mei (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto tiba di Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang kemuncak berkaitan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei.

Kunjungan ini merupakan penampilan pertama Prabowo pada perhimpunan serantau itu sebagai ketua negara sejak memegang jawatan berkenaan pada Oktober tahun lepas.

Pesawat khas yang membawa Prabowo dan delegasi mendarat di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di sini pada 7.20 malam serta disambut oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai Kapten Muhammad Syafiq Najmi Mazlan.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane, Laos pada Oktober 2024, Indonesia diwakili Naib Presiden Ma’ruf Amin semasa peralihan kepimpinan.

Turut berlangsung pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ialah Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama.

Dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, edisi tahun ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, selepas menerajui blok serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan