AM

SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA TAMPIL ELEMEN ASEAN

07/06/2025 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Sambutan Hari Belia Negara (HBN) peringkat kebangsaan pada 13 hingga 15 Jun ini bakal menampilkan keunikan elemen ASEAN selaras dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025. 

Menurut Sekretariat HBN, antara pengisian pada program yang akan diadakan di Dataran Merdeka itu, termasuk Pavilion ASEAN dan Konsert ASEAN.

“Peranan belia dilihat penting dalam mengukuhkan rangkaian serantau ASEAN, khususnya kerjasama masa hadapan dalam bidang ekonomi, kepimpinan, pendidikan, inovasi teknologi, dan sosial.

“Malah, golongan belia boleh bertindak sebagai duta kecil yang membawa imej negara di peringkat antarabangsa,” kata Sekretariat HBN menerusi kenyataan kepada Bernama. 

Bertemakan ‘Yakin Boleh,’ kemuncak sambutan HBN ke-61 akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan merasmikan serta menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2025 pada 14 Jun.

“Tema ini mencerminkan keyakinan, keupayaan dan daya juang golongan belia untuk menghadapi cabaran semasa, termasuk era digital masa kini. Tema ini selari dengan usaha Kerajaan MADANI dalam memperkasakan belia melalui pelbagai inisiatif strategik serta nilai keyakinan dalam kerangka MADANI.

Dengan sasaran kehadiran empat juta pengunjung, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) menggerakkan sambutan HBN di peringkat akar umbi dengan melaksanakan Semarak HBN di 113 daerah seluruh negara sejak 15 Mei lepas.

Di peringkat kebangsaan, Semarak HBN dimeriahkan dengan pengisian Konvensyen Belia Kebangsaan; permainan dan aktiviti e-sukan; karnival kerjaya dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); kecergasan; kepimpinan; seni, muzik dan budaya; serta kesedaran kesihatan mental dan buli siber. 

Turut dianjurkan audio siar Suara Belia, bacaan Ikrar Belia Malaysia, Forum Perdana Hal Ehwal Islam Khas HBN 2025, khutbah Jumaat khas di seluruh negara menerusi kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam negeri.  

“Berkonsepkan festival dan berteraskan 15 segmen, ia inisiatif dengan pendekatan daripada belia untuk belia yang disusun bagi memenuhi kehendak dan keperluan golongan belia masa kini. Pengisian dirangka ini turut berteraskan elemen 10 gaya hidup Rakan Muda,” menurut Sekretariat HBN.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan