AM

KPKT Lulus 594 Projek Pembangunan Kampung Baru Cina, Kampung India

29/06/2026 01:50 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan telah meluluskan 573 projek pembangunan di Kampung Baru Cina dan 21 projek di Kampung India dengan kos keseluruhan RM73 juta tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata di Kampung Baru Cina, sebanyak 366 projek pembangunan infrastruktur telah diluluskan dengan 148 telah siap manakala 218 masih dalam pelaksanaan.

“Bagi Program Bantuan Baik Pulih Rumah, sebanyak 197 projek telah diluluskan dengan 47 daripadanya telah siap dan 150 lagi dalam proses. Bagi Program Bantuan Bina Baharu Rumah Kampung Baru, sebanyak 10 projek telah diluluskan dan semuanya belum bermula,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) yang ingin tahu status terkini pelaksanaan projek pembangunan dan penyediaan kemudahan asas di Kampung Baru Cina serta kampung tradisi India di seluruh negara.

Bagi Kampung India, Aiman Athirah berkata sebanyak 18 kampung terlibat di Johor, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan merangkumi pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan aspek keselamatan dengan kos keseluruhan RM2 juta.

Setakat ini, beliau berkata lima projek telah siap, dalam pembinaan (13), proses perolehan (2) dan masih dalam perancangan (1).

Beliau berkata dari 2023 hingga tahun lalu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM328.9 juta bagi pelaksanaan projek pembangunan di Kampung Baru Cina yang memberi manfaat kepada penduduk di 613 kampung di seluruh negara.

Bagi Kampung India,  Aiman Athirah berkata peruntukan khas mula disalurkan dan diselaraskan oleh KPKT pada 2025 dengan jumlah keseluruhan RM15 juta.

“Peruntukan ini dibahagikan kepada dua inisiatif utama yang memberi manfaat kepada 22,144 penerima di 50 buah Kampung India yang dikenal pasti melalui 87 projek,” katanya.

Beliau berkata ia merangkumi RM10 juta di bawah inisiatif belanjawan KPKT 2025 melibatkan 54 projek dan RM5 juta di bawah Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India melalui Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574371