AM

Dewan Rakyat Rakam Takziah Atas Pemergian Ibu Yang Dipertua Dewan Negara

29/06/2026 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah kepada Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, di atas pemergian ibunya yang meninggal dunia hari ini.

Ucapan takziah itu disampaikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul pada persidangan petang ini.

“Yang Berhormat sekalian, dengan rasa yang amat dukacita dan sedih, saya ingin mengumumkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian bahawa bonda kepada Yang Berhormat Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah Yang Dipertua Dewan Negara, telah kembali ke rahmatullah, sebentar tadi.

“Saya bagi pihak Ahli Dewan ini dan pihak Parlimen seluruhnya, ingin merakamkan ucapan takziah kepada Yang Berhormat Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah atas pemergian bonda tercinta. Saya mengharapkan Yang Berhormat Senator Datuk Awang Bemee dan seluruh keluarga terus tabah dalam menghadapi situasi ini,” katanya.

Johari turut mengajak semua Ahli Parlimen untuk mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan mereka yang solehah dan beriman.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574508