PASARAN

Bursa Malaysia Atasi Penyusutan Awal Untuk Ditutup Rendah, Dipengaruhi Sentimen Global

29/06/2026 06:30 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah pada akhir dagangan Isnin dengan indeks petunjuk utama mengatasi penurunan awal selepas melantun daripada paras terendah intra harian di tengah-tengah aktiviti jualan ketara pada sesi pagi.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata sentimen masih dipacu oleh perkembangan makroekonomi global dan geopolitik apabila pelabur meneliti potensi pendapatan jangka panjang daripada kecerdasan buatan (AI) berbanding peningkatan kos serta faktor gencatan senjata Amerika Syarikat (AS)-Iran yang goyah.

Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.83 mata kepada 1,665.91 daripada paras 1,667.74 pada penutup Jumaat lepas.

Indeks petunjuk utama itu dibuka naik 1.04 mata kepada 1,668.78 dan mencecah paras terendah intra harian pada 1,655.28 sebelum ke paras tertinggi 1,669.21.

Sentimen pasaran bagaimanapun positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 554 berbanding 481 manakala 555 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,153 tidak diniagakan dan 133 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.71 bilion unit bernilai RM2.13 bilion daripada 2.93 bilion unit bernilai RM2.26 bilion pada Jumaat lepas.

Mohd Sedek berkata indeks petunjuk utama mengatasi sebahagian besar daripada penyusutan sebelumnya ketika aktiviti memburu saham-saham berharga rendah muncul pada tengah hari dengan pasaran secara meluas memaparkan keadaan lebih konstruktif.

“Kedua-dua (indeks) FBM 70 dan FBM Small Cap ditutup meningkat yang memaparkan pelabur terus bertindak mengumpul saham bermodal sederhana dan kecil dari segi asas walaupun indeks utama lemah,” katanya kepada Bernama.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran serantau mencatat prestasi bercampur-campur susulan tindakan pelabur menilai risiko geopolitik Asia Barat berbanding ketegangan perdagangan kembali ketara selepas China bertindak mengetatkan kawalan eksport kepada 20 syarikat Jepun.

“Di sebalik persekitaran pasaran yang berhati-hati, FBM KLCI pula menghampiri paras terlebih jual yang berpotensi menggalakkan aktiviti memburu saham-saham berharga rendah terpilih.

“Pembetulan teknikal pasaran baru-baru ini telah memulihkan penilaian sebahagian besar saham-saham mewah, sekali gus menjadikannya lebih menarik bagi tujuan pelaburan jangka panjang,” katanya.

Berikutan itu, beliau menjangkakan FBM KLCI kekal dalam julat kecil sekitar 1,660-1,690 pada minggu ini.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank kekal pada RM10.80, Public Bank jatuh empat sen kepada RM4.79, Tenaga Nasional turun lapan sen kepada RM14.26 dan IHH merosot 14 sen kepada RM8.40 namun CIMB naik empat sen kepada RM7.45.

Bagi kaunter paling aktif, Zetrix AI rugi satu sen kepada 76 sen, Silver Ridge berkurangan 7.5 sen kepada 11 sen, pendatang baharu Pasaran ACE RT Pastry turun dua sen kepada 16 sen, Dagang Nexchange kekal pada 42 sen dan Astro naik setengah sen kepada 6.5 sen.

Kaunter paling untung didahului oleh Malaysian Pacific Industries yang naik RM2.10 kepada RM49.10, Fraser & Neave untung 16 sen kepada RM27.86, Vitrox meningkat 29 sen kepada RM7.53, Petronas Dagangan meraih 22 sen kepada RM18.82 dan Apollo Food menokok 15 sen kepada RM5.85.

Sebaliknya, kaunter paling rugi menyaksikan Nestle susut RM2.42 kepada RM93.42, KL Kepong turun 34 sen kepada RM20.96, Hong Leong Bank rugi 28 sen kepada RM21.40, Hartanah Kenyalang kehilangan 17.5 sen kepada 55.5 sen dan Petronas Gas merosot 14 sen kepada RM17.40.

Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas turun 14.89 mata kepada 12,379.91 manakala Indeks FBM Top 100 meningkat 11.50 mata kepada 12,213.09 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 11.22 mata kepada 12,252.52.

Selain itu, Indeks FBM Mid 70 menokok 122.52 mata kepada 17,848.71 dan Indeks FBM ACE meningkat 43.99 mata kepada 4,789.29.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 9.91 mata kepada 19,673.03, Indeks Perladangan turun 57.34 mata kepada 8,825.64, Indeks Tenaga naik 1.60 mata kepada 747.50 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.78 mata kepada 181.37.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 1.33 bilion unit bernilai RM1.86 bilion daripada 1.36 bilion unit bernilai RM1.98 bilion pada Jumaat lepas.

Perolehan waran pula turun kepada kepada 851.04 juta unit bernilai RM110.69 juta berbanding 1.04 bilion unit bernilai RM125.28 juta sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan susut kepada 526.01 juta unit dengan nilai RM163.67 juta daripada 530.03 juta unit bernilai RM151.60 juta pada Jumaat lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 173.40 juta saham diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (230.01 juta), pembinaan (91.80 juta), teknologi (337.25 juta), perkhidmatan kewangan (53.03 juta), hartanah (122.65 juta), perladangan (17.94 juta), pelaburan hartanah amanah (14.02 juta), dana tertutup (1,000), tenaga (72.27 juta), penjagaan kesihatan (84.67 juta), telekomunikasi dan media (84.62 juta), pengangkutan dan logistik (24.80 juta), utiliti (26.66 juta), dan amanah perniagaan (120,500).

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574565