AM

Op V380: MCMC Sita 6,916 Unit Kelengkapan Komunikasi Tidak Diperakui Bernilai RM2.06 Juta

29/06/2026 06:35 PM

PUTRAJAYA, 29 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyita 6,916 unit kelengkapan komunikasi yang disyaki tidak diperakui dianggarkan bernilai  RM2.06 juta. 

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan sitaan itu dilaksanakan menerusi Op V380 pada 24 Jun lepas yang menyasarkan sebuah syarikat dipercayai terlibat dalam penjualan dan pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui dan tidak mematuhi piawaian teknikal ditetapkan MCMC.

"Antara kelengkapan komunikasi yang disita ialah kamera litar tertutup tanpa wayar, komputer, mesin pencetak, telefon bimbit dan penghala WiFi (WiFi router)," menurut MCMC.

Op V380 dilaksanakan hasil maklumat risikan menerusi kerjasama strategik antara MCMC dan SIRIM QAS International Sdn Bhd selaku agensi pemerakuan berdaftar.

Seramai 44 pegawai terlibat dalam operasi dijalankan serentak di sebuah gudang penyimpanan di Klang dan sebuah premis yang dijadikan pejabat urusan dan studio siaran langsung di Johor Bahru.

Menurut MCMC, siasatan awal mendapati kelengkapan komunikasi berkenaan ditawarkan dan dijual melalui platform e-dagang, termasuk TikTok Shop dan Shopee. 

Susulan itu, lapan individu termasuk pengurus syarikat, pembantu gudang dan hos siaran langsung dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

"Penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menjejaskan keselamatan pengguna kerana tidak mematuhi piawaian teknikal yang ditetapkan. 

"Selain berpotensi menjejaskan prestasi dan kebolehpercayaan peranti, penggunaannya juga boleh menyebabkan gangguan kepada rangkaian komunikasi serta menjejaskan kualiti perkhidmatan komunikasi," kata MCMC.

Kes disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

MCMC memaklumkan ia akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan, pengedaran dan pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui. 

Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan  kelengkapan komunikasi yang telah diperakui bagi memastikan keselamatan pengguna dan mengelakkan risiko gangguan kepada rangkaian komunikasi  negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574568