TOKYO, 28 Jun (Bernama-Kyodo) -- Kementerian Kewangan Jepun sedang mempertimbangkan untuk memperluas barisan bon kerajaan yang ditawarkan kepada pelabur individu, lapor agensi berita Kyodo.
Langkah itu diambil susulan cadangan daripada pakar yang menggesa pengenalan produk baharu seperti bon berkaitan inflasi ditengah-tengah kenaikan harga.
Menurut Kyodo, pembelian bon oleh pelabur individu melonjak mendadak ketika Bank of Japan (BOJ) sedang beralih ke arah menaikkan kadar faedah.
Kementerian berkenaan juga berhasrat untuk mempelbagaikan pembeli hutangnya memandangkan BOJ kini sedang mengurangkan pembelian bon sebagai sebahagian daripada proses normalisasi dasar monetari bank pusat berkenaan selepas sedekad melaksanakan pelonggaran luar biasa.
Dalam satu mesyuarat pengurusan bon kerajaan bersama pakar baru-baru ini, terdapat peserta yang mencadangkan agar bon jangka panjang super dengan tempoh matang 20 atau 30 tahun ditawarkan kepada pelabur individu.
Pada masa ini, Jepun menawarkan tiga jenis bon kerajaan untuk pelabur individu.
Ia merangkumi bon kadar terapung 10 tahun yang kadar faedahnya berubah setiap enam bulan mengikut pasaran, selain bon kadar tetap lima tahun dan tiga tahun yang kadar faedahnya kekal sehingga tempoh matang.
Faedah bagi kesemua bon berkenaan dibayar setiap enam bulan, manakala jumlah prinsipal akan dipulangkan semula apabila tiba tarikh matang.
Tinjauan kementerian menunjukkan pegangan bon tetap lima tahun meningkat dalam kalangan semua peringkat umur. Bagaimanapun, pihak kementerian mahu meluaskan lagi sasaran kepada golongan pekerja yang lebih muda berusia bawah 30-an serta mereka yang berumur dalam lingkungan 40-an.
Mengenai cadangan produk baharu seperti bon berkaitan inflasi, beberapa wakil institusi kewangan dalam panel kementerian berpendapat produk itu amat sesuai dengan persekitaran inflasi semasa kerana jumlah prinsipal bagi bon jenis itu akan meningkat mengikut kadar inflasi.
Bagaimanapun, seorang pegawai kementerian menyatakan terdapat pihak lain yang berpandangan bahawa adalah sukar untuk menetapkan definisi yang tepat bagi kadar inflasi berkenaan.
Bagi tahun fiskal 2025 yang berakhir Mac lepas, pembelian bon kerajaan Jepun oleh individu meningkat 36.9 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 6.15 trilion yen (US$38 bilion), iaitu paras tertinggi sejak 2006.
Jualan bon tetap lima tahun mencatatkan prestasi amat kukuh iaitu mencecah 3.20 trilion yen, melonjak 131.8 peratus berbanding tahun sebelum itu.
Menurut pegawai berkenaan, lonjakan itu didorong oleh tawaran kadar faedah yang menarik, termasuk kadar 1.66 peratus pada tawaran Mac, yang jauh lebih tinggi daripada kadar faedah simpanan biasa di bank.
Kementerian itu juga bersedia untuk memperluas penawaran bon kerajaan kepada pelabur bukan individu bermula Januari 2027, dengan sasaran kepada organisasi seperti sekolah swasta dan persatuan pengurusan kondominium.
-- BERNAMA-KYODO