POLITIK

Pembangunan Seimbang, Tarik Pelaburan Fokus Danish Hossman Di Johor Lama

29/06/2026 02:55 PM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

KOTA TINGGI, 29 Jun (Bernama) -- Misi merapatkan jurang pembangunan dan menarik pelaburan berimpak tinggi bagi merancakkan ekonomi setempat menjadi agenda utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Danish Hossman Abd Rahman.

Mempertaruhkan slogan “Wajah Baharu, Johor Lama", Danish Hossman, 23, bertekad mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan anak muda pada pasaran kerja di kawasan bandar atau luar negara jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Danish Hossman berkata untuk merealisasikan objektif itu, penyelarasan pentadbiran antara kerajaan negeri dengan Persekutuan amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar serta projek pembangunan berjalan dengan lancar.

“Kita tidak perlu hanya fokus bahagian-bahagian Johor Selatan seperti Johor Bahru, Tebrau, Kulai, tetapi kawasan Felda juga perlu dititikberatkan kerana ramai anak muda Felda berhijrah ke luar seperti ke Johor Bahru atau Singapura untuk menjana pendapatan.

“Saya mahu bawa pembangunan dan pelaburan ke DUN Johor Lama supaya mereka (golongan anak muda Felda) tidak perlu berhijrah jauh dari kampung hanya untuk mencari rezeki,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di sini, baru-baru ini.

Selain isu ekonomi, calon termuda dalam PRN Johor itu turut memperjuangkan penubuhan sebuah pejabat cawangan imigresen di daerah Kota Tinggi bagi memudahkan urusan dokumentasi penduduk setempat.

“Di Kota Tinggi ini tiada pusat imigresen sehingga menyebabkan penduduk di sini perlu pergi ke Johor Bahru, Kulai atau Mersing yang mengambil masa lama hanya untuk membuat pasport ataupun urusan imigresen,” katanya.

Menyentuh tentang nasib peniaga kecil, Danish Hossman berkata beliau menerima banyak keluhan berhubung isu pemindahan lokasi perniagaan ke kawasan yang kurang strategik sehingga menjejaskan punca pendapatan harian mereka.

“Mereka menyatakan dan merintihkan kesusahan tentang kedudukan mereka yang tidak dijaga, perkara sebegini perlu dititikberatkan sebab mereka ini peniaga dan melalui perniagaan itulah sumber pendapatan mereka,” katanya.

Berkenaan strategi kempen, Danish Hossman menggabungkan pendekatan tradisional secara bersemuka dengan penguasaan platform media sosial untuk mendekati lebih 32,000 pengundi di kawasan itu.

“Saya anak muda yang mampu menawarkan idea baharu dan tenaga yang kuat, jadi saya tidak ada masalah untuk berjumpa dengan rakyat serta mendengar masalah mereka secara bersemuka.

“Dalam masa sama, saya juga menggunakan media sosial dalam berkempen. Saya ada buat hantaran dan melihat penerimaan orang-orang di DUN Johor Lama ini sangat baik terhadap saya sebagai calon bertanding,” kata penuntut Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu.

Kerusi DUN Johor Lama menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Danish Hossman, penyandang Norlizah Noh (Barisan Nasional) dan Aisah Esa (Perikatan Nasional).

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.  

-- BERNAMA

 

N37: JOHOR LAMA: 32,716

1. Aisah Esa (PN-Bersatu)

2. Danish Hossman Abd Rahman ( PH-PKR)

3. Norlizah Noh (BN-UMNO)

(2022: Norlizah Noh: BN-UMNO: Maj: 6,039)


 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574419