DUNIA

Kedutaan Venezuela Mohon Sokongan Dana Pemulihan Gempa Bumi

29/06/2026 10:14 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kedutaan Republik Bolivar Venezuela di Malaysia memohon bantuan untuk menyebarkan maklumat mengenai dana pemulihan yang diwujudkan susulan dua gempa bumi dahsyat yang melanda Venezuela pada 24 Jun.

Dalam kenyataan kepada BERNAMA pada Isnin, Duta Besar Venezuela ke Malaysia Radames Gomez Azuaje berkata gempa bumi itu mengorbankan nyawa dan menyebabkan kecederaan, selain beberapa individu masih hilang, manakala banyak kawasan terjejas teruk.

Kedutaan itu memaklumkan bahawa Bank Pembangunan Andes, yang turut dikenali sebagai CAF (Bank Pembangunan Amerika Latin dan Caribbean), telah menubuhkan Dana Pemulihan dan Pembinaan Semula Venezuela.

Menurut jemputan yang dikeluarkan CAF, dana itu bertujuan untuk mengumpul, menggerakkan, mengurus dan menyalurkan sumber daripada pihak ketiga bagi membiayai inisiatif tindak balas segera termasuk operasi menyelamat dan usaha mengamankan kawasan terjejas, penstabilan serta triaj di kawasan yang terkesan, pemulihan perkhidmatan asas dan pembinaan semula kawasan yang terjejas mengikut keutamaan yang ditetapkan oleh Republik Bolivar Venezuela.

Melalui jemputan itu, CAF secara rasmi menawarkan peluang kepada semua pihak untuk menyalurkan sumbangan kepada dana berkenaan bagi menyokong usaha pemulihan dan pembinaan semula Venezuela.

Sumbangan boleh dibuat menerusi pindahan dana elektronik dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) atau euro kepada CAF.

Bagi pindahan dalam dolar AS, nama akaun ialah “CORPORACIÓN ANDINA DE FOMENTO”, nombor akaun 6550447826, nombor routing/transit bagi debit dan kredit ACH serta pindahan kawat ialah 026009593, manakala kod SWIFT ialah BOFAUS3N.

Bagi pindahan dalam euro, nama akaun ialah “CORPORACIÓN ANDINA DE FOMENTO”, IBAN: DE11 5004 0000 0887 7326 02, dengan kod SWIFT: COBADEFFXX.

Alamat pemegang akaun ialah Avenida Enrique Canaval y Moreyra No. 380, Edificio Torre Siglo XXI, Piso 13, San Isidro, Lima.

CAF memaklumkan penyumbang perlu menyertakan rujukan pindahan berikut semasa membuat sumbangan: “Fondo para la Recuperación y Reconstrucción de Venezuela - nama penyumbang”.

Selepas pindahan dibuat, penyumbang dikehendaki menghantar salinan resit pembayaran kepada alamat e-mel alianzas@caf.com dan trustfunds@caf.com berserta nama penyumbang, jumlah serta mata wang yang dipindahkan, tarikh pindahan, nama bank yang digunakan, serta nama dan alamat e-mel pegawai untuk dihubungi.

CAF memaklumkan sumbangan yang diterima dalam euro akan ditukarkan kepada dolar AS dan dikreditkan ke dalam dana berkenaan dalam mata wang itu memandangkan semua inisiatif dan laporan kewangan dana tersebut akan dikendalikan dalam dolar AS.

Bank itu berkata pihaknya akan mengesahkan penerimaan sumbangan secara bertulis dalam tempoh 10 hari bekerja selepas dana dikreditkan ke dalam akaun.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574680