AM

Kerajaan MADANI Komited Teruskan Pembangunan Mampan Di Setiap Negeri

29/06/2026 08:33 PM

JOHOR BAHRU, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan MADANI akan terus komited memastikan setiap negeri termasuk Johor, menikmati pembangunan yang mampan, inklusif dan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan memberikan keutamaan kepada pelaburan dalam infrastruktur, pengangkutan awam, kesihatan dan mitigasi banjir bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Johor kini berada pada landasan kukuh untuk terus berkembang menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan projek berimpak tinggi.

Beliau berkata antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru, Rapid Transit System (RTS) Link, pelebaran lorong ketiga Lebuhraya PLUS, projek tebatan banjir Johor, Loji Rawatan Kumbahan Sungai Kim Kim serta Hospital Pasir Gudang.

“Komitmen Kerajaan MADANI terhadap pembangunan Johor turut diperkukuh menerusi kelulusan beberapa projek baharu berskala besar, termasuk Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART), Hospital Sultanah Aminah 2 dan Hospital USIM di Sedili,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata pembangunan bukan sekadar diukur melalui nilai pelaburan atau angka semata-mata, sebaliknya diterjemahkan menerusi manfaat yang dinikmati rakyat.

“Antaranya peluang pekerjaan, sistem pengangkutan yang lebih cekap, akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik serta peningkatan kesejahteraan hidup,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574644