AM

Daripada Susu Formula Ke Periuk Nasi, Rakyat Malaysia Pilih Tawaran Boleh Dipercayai - Lazada

26/06/2026 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Corak perbelanjaan rakyat Malaysia ketika kempen jualan mega semakin beralih daripada pembelian barangan mewah kepada keperluan harian, dengan pengguna kini lebih mengutamakan tawaran daripada penjual dan jenama yang dipercayai.

Berdasarkan data kempen jualan 6.6 Lazada Malaysia, platform e-dagang itu memaklumkan pengguna semakin banyak membeli barangan dapur, susu formula, produk kesihatan, penjagaan diri dan peralatan rumah berbanding telefon pintar atau produk kecantikan yang sebelum ini sinonim dengan musim jualan mega.

“Minat terhadap diskaun masih kuat tetapi pengguna kini lebih teliti memilih tempat mereka membeli. Ini lebih ketara apabila melibatkan produk yang digunakan di rumah, dipakai atau digunakan pada tubuh serta menjadi sebahagian daripada rutin harian keluarga,” menurut Lazada dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan nilai jualan keseluruhan platform Lazada di Malaysia meningkat 465 peratus sepanjang tempoh kempen 6.6 berbanding tempoh biasa atau kira-kira 5.7 kali ganda berbanding tempoh bukan jualan. 

“Lebih menarik, jualan menerusi ekosistem dipercayai Lazada yang lebih luas, merangkumi kedai rasmi LazMall serta pilihan global dan rentas sempadan disahkan, termasuk penjual daripada TMALL dan Gmarket, berkembang lebih pantas dengan peningkatan lebih 10 kali ganda berbanding tempoh biasa bukan kempen.

LazMall sahaja pula mencatat pertumbuhan 12 kali ganda berbanding tempoh yang sama,” menurut kenyataan itu.

Menurut Lazada, data itu turut menunjukkan rakyat Malaysia menggunakan jualan mega untuk menambah stok keperluan isi rumah, dengan Lotus's merekodkan pertumbuhan jualan 47 kali ganda manakala Lazada Groceries meningkat 19 kali ganda berbanding hari jualan biasa.

“Bagi barangan dapur, kepercayaan bersifat praktikal… Pembeli mahukan jenama yang dikenali, keyakinan terhadap tarikh luput, sumber produk yang boleh dipercayai dan penghantaran yang boleh diharapkan. Ini menjadikan Lazada bukan sekadar destinasi ketika kempen tetapi semakin menjadi saluran membeli-belah isi rumah yang digunakan secara lebih kerap,” menurut kenyataan itu. 

Lazada memaklumkan bagi kategori bayi dan penjagaan keluarga, beberapa jenama mencatat pertumbuhan kukuh berbanding hari jualan biasa, antaranya S26 Gold Progress, Enfagrow A+ Official Store, Pediasure, Huggies, Kotex, Confidence dan Poise.

“Ini ialah produk yang berkait rapat dengan anak-anak, warga emas, tanggungan dan rutin keluarga harian. Bagi isi rumah Malaysia, harga yang lebih rendah hanya benar-benar menarik jika sumber pembelian dirasakan boleh dipercayai,” menurut kenyataan itu.

Menurut Lazada, kategori kesihatan dan penjagaan diri turut mencatat pertumbuhan kukuh apabila Ensure dan Glucerna Official Store meningkat empat kali ganda manakala Kinohimitsu berkembang 11 kali ganda dan Eu Yan Sang melonjak 29 kali ganda.

Bagi kategori kecantikan dan penjagaan diri, Watsons mencatat peningkatan sembilan kali ganda dengan jumlah pesanan tertinggi dalam kalangan penjual Malaysia, sementara Lancome berkembang 255 kali ganda dan Kerastase meningkat 66 kali ganda.

Trend sama turut dilihat bagi peralatan rumah dan peranti rumah pintar apabila Xiaomi Official Store berkembang 40 kali ganda, Roborock Malaysia meningkat 100 kali ganda dan Tineco melonjak 78 kali ganda berbanding hari jualan biasa.

Sementara itu, platform itu memaklumkan tempoh pembukaan jualan pada 8 malam, 5 Jun menyumbang 16 peratus daripada keseluruhan jualan 6.6 Lazada Malaysia dalam tempoh sejam, iaitu tumpuan jualan sejam tertinggi dalam kalangan pasaran Asia Tenggara.

Menurut kenyataan itu, menjelang tamat tempoh pembukaan dari 8 malam hingga 11 malam, Malaysia merekodkan 47 peratus daripada keseluruhan jualan dan 38 peratus daripada jumlah pesanan kempen 6.6.

“Namun, kepantasan ini tidak bermaksud pembeli membeli secara membuta tuli. Dalam tempoh tawaran yang singkat, rakyat Malaysia masih mencari isyarat kepercayaan yang pantas, daripada kedai rasmi dan penjual disahkan kepada jenama yang dikenali, maklumat produk yang jelas, jaminan waranti dan penghantaran yang boleh diharapkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan di seluruh Asia Tenggara, keperluan harian secara senyap menjadi sebahagian besar daripada troli 6.6. Kategori barangan pengguna bergerak pantas atau FMCG, merangkumi lima daripada 10 kategori peringkat kedua teratas, termasuk penjagaan kulit, suplemen makanan, minuman, penjagaan diri serta susu formula dan makanan bayi.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2573497