MELAKA, 13 Jun (Bernama) -- Sebanyak 25,000 peserta disasarkan menyertai Program Kecerdasan Buatan (AI) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menjelang penghujung tahun ini, bertujuan memperluas literasi AI serta memperkasa keupayaan masyarakat dalam memanfaatkan teknologi itu bagi menjana pendapatan dan meningkatkan produktiviti.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata program yang bermula bulan ini akan diperluas ke semua 1,099 NADI di seluruh negara dan terbuka kepada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira umur, latar belakang mahupun tahap kemahiran digital.
"Inisiatif ini bertujuan memberi pendedahan kepada rakyat mengenai penggunaan AI secara praktikal, selamat dan bertanggungjawab selaras dengan perkembangan teknologi semasa serta memastikan manfaatnya dinikmati secara inklusif di bandar dan luar bandar.
“Sambutan yang diterima setakat ini menunjukkan minat rakyat untuk mempelajari serta memanfaatkan teknologi AI dalam kehidupan, pembelajaran dan pekerjaan semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Latihan Pendidikan Pencipta Kandungan TikTok Shop di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tinggi Cina Melaka di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Melaka Khairol Nizam Mohd Mostar.
Teo berkata Program AI di NADI turut bertujuan meningkatkan keupayaan rakyat memanfaatkan teknologi itu bagi memperkasa diri, meningkatkan produktiviti dan meneroka peluang baharu dalam ekonomi digital.
Beliau berkata terdapat 39 NADI di Melaka dengan lima daripadanya berada di bawah Parlimen Kota Melaka.
“NADI akan terus berperanan sebagai platform pembangunan komuniti melalui pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran digital bersama pelbagai pihak termasuk wakil rakyat dan rakan strategik industri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata MCMC turut bekerjasama dengan platform e-dagang seperti TikTok Shop, Lazada dan Shopee bagi melahirkan lebih ramai usahawan digital melalui latihan bersesuaian dengan keperluan masyarakat setempat.
Beliau berkata ekonomi pencipta kandungan terus berkembang pesat dan membuka peluang baharu kepada golongan muda menjana pendapatan melalui platform digital, sekali gus membolehkan produk dipasarkan secara lebih kreatif dan berkesan.
Selain itu, Teo berkata masyarakat juga perlu diperkasakan dengan literasi digital bagi menangani peningkatan kandungan palsu yang tersebar di platform dalam talian.
“Sebanyak 5,367 kandungan palsu direkodkan pada 2023, sebelum meningkat kepada 17,245 pada 2024 serta 28,856 pada 2025 dan setakat 31 Mei tahun ini, telah mencatat 2,517.
“Kandungan palsu ini hadir dalam pelbagai bentuk dan ada antaranya menggunakan imej atau paparan berita yang diubah suai sehingga mengelirukan masyarakat,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata latihan berkenaan penting dalam melahirkan pencipta kandungan yang bukan sahaja kreatif dan berdaya saing tetapi juga bertanggungjawab, beretika serta menghasilkan kandungan bermanfaat kepada masyarakat.
-- BERNAMA