BATU PAHAT, 26 Jun (Bernama) -- Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bukan sekadar sijil, sebaliknya ia merupakan ‘perisai’ kepada industri sawit negara, selain menjamin masa depan pekebun kecil.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata MSPO adalah bukti minyak sawit Malaysia diusahakan dengan amalan yang baik, teratur serta bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
"Hari ini, pasaran dunia semakin cerewet. Pembeli luar negara mahu tahu dari mana datangnya minyak sawit kita. Mereka mahu tahu sama ada sawit kita dihasilkan secara mampan. Mereka mahu tahu sama ada kita menjaga alam sekitar dengan baik.
"Sebab itu MSPO penting. Ia membantu melindungi masa depan pekebun kecil dan memastikan minyak sawit Malaysia terus diterima di pasaran dunia," katanya ketika berucap pada Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Kelapa Sawit di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan Parit Sulong, di sini, hari ini.
Noraini berkata sehingga 15 Jun lepas, pelaksanaan MSPO bagi pekebun kecil persendirian di bawah seliaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah berjaya mempersijilkan 162 Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC).
Jumlah pensijilan itu melibatkan 197,933 pekebun kecil dengan keluasan lebih 731,000 hektar di seluruh negara, katanya.
Di Johor, sebanyak 43 SPOC telah disijilkan melibatkan 55,194 pekebun kecil dengan keluasan 128,720.26 hektar, manakala bagi daerah Batu Pahat sahaja, seramai 15,641 pekebun kecil telah menerima pensijilan tersebut merangkumi 29,122.54 hektar.
"Hari ini semakin ramai pekebun kecil memahami bahawa MSPO bukan beban. MSPO adalah peluang," kata Noraini.
Selain itu, beliau memberi jaminan kerajaan tidak mahu pekebun kecil terbeban dengan kos pensijilan dan bersetuju menanggung sepenuhnya kos tersebut bagi kategori pekebun kecil persendirian, termasuk yuran audit dan latihan berkaitan.
Mengulas mengenai usaha meningkatkan produktiviti, beliau berkata kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif termasuk Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0).
Beliau berkata bagi negeri Johor, sebanyak 1,061 permohonan telah diluluskan melibatkan keluasan 2,655.94 hektar, manakala bagi daerah Batu Pahat, sebanyak 126 permohonan diluluskan dengan keluasan 364.30 hektar.
Selain itu, beliau turut menggalakkan pekebun kecil beralih kepada penggunaan teknologi seperti mesin pemotong buah sawit (Cantas) yang mampu meningkatkan produktiviti tuaian daripada 1.8 tan kepada 3.2 tan Tandan Buah Segar (TBS) bagi seorang pekerja sehari.
-- BERNAMA