AM

Sarawak Energy Pacu Kesalinghubungan Tenaga Serantau

26/06/2026 01:21 PM

Oleh Ammar Shafiq Hamzah

KUCHING, 26 Jun (Bernama) -- Selepas hampir tiga dekad diperkenalkan, inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG) kekal sebagai antara aspirasi jangka panjang Asia Tenggara dalam sektor tenaga.

 APG yang menyasarkan untuk memperkukuh kesalinghubungan bekalan elektrik serantau dengan menumpukan kepada peningkatan keselamatan tenaga, kebolehsampaian dan kemampanan, telah menunjukkan kemajuan secara berperingkat selepas bertahun-tahun melalui pelbagai perbincangan.

Usaha itu diterajui oleh Sarawak Energy, yang kini memberi tumpuan untuk mempertingkat grid Borneo sebagai langkah asas ke arah merealisasikan APG secara menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili berkata syarikat utiliti milik kerajaan negeri itu kini sedang memacu pembangunan grid Borneo melalui perbincangan dan kerjasama dua hala.

"Kami mula mengeksport elektrik ke Kalimantan pada 2016 dan kini telah hampir 10 tahun. Pada Disember lepas, kami juga mula mengeksport elektrik ke Sabah. Pada masa sama, kami sedang berbincang dengan Brunei untuk mewujudkan kesalinghubungan.

"Sudah tentu, keutamaan kami adalah untuk membekalkan elektrik ke seluruh Sarawak terlebih dahulu. Bagaimanapun, kami percaya kami mempunyai potensi dan kapasiti yang mencukupi untuk membekalkan lebih banyak tenaga, dan ingin berkongsi tenaga itu dengan negara jiran," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Sharbini berkata, Sarawak Energy turut memacu rancangan untuk memperkukuh kesalinghubungan bekalan elektrik rentas sempadan di luar Borneo, termasuk cadangan projek kabel bawah laut yang menghubungkan Sarawak dengan Singapura selain potensi sambungan grid antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, perbincangan mengenai projek Sarawak-Singapura menunjukkan perkembangan yang positif, dengan Penguasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) telah memberikan kelulusan bersyarat sekali gus mengiktiraf bahawa projek berkenaan telah dinilai pada peringkat awal sebagai berdaya maju dari segi teknikal dan komersial.

"Cabaran terbesar projek itu ialah kira-kira 80 peratus daripada laluan kabel itu melalui perairan Indonesia. Oleh itu, kami memerlukan kelulusan daripada Indonesia dan pelbagai pihak berkuasa berkaitan.

"Perkara ini sedang kami usahakan bersama-sama kerajaan Sarawak serta pihak atau agensi di peringkat Persekutuan. Pada akhirnya, projek ini melibatkan perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan memandangkan projek ini merentasi sempadan negara.

"Apabila semua kelulusan dan urusan berkaitan selesai, kami menjangkakan projek kabel ini dapat beroperasi pada 2033 atau 2034," katanya.

Bagi menyokong hasrat Sarawak dalam sektor tenaga yang semakin berkembang, Sharbini berkata negeri itu akan terus memanfaatkan sumber tenaga hidro serta memperluas kapasiti penjanaan elektrik.

"Ketika ini, kami mempunyai tiga loji hidroelektrik yang sedang beroperasi. Pertama, Batang Ai yang mula beroperasi pada 1985. Kami juga mempunyai Empangan Bakun dan Murum.

"Secara keseluruhan, kemudahan ini menyediakan kapasiti tenaga hidro hampir 3.6 gigawatt," katanya.

Beliau berkata, Sarawak Energy juga sedang membina Projek Hidroelektrik Baleh di Kapit yang bakal mempunyai kapasiti penjanaan sebanyak 1,285 megawatt apabila siap.

"Kami berharap Baleh mula beroperasi menjelang 2030. Pada masa ini, jumlah kapasiti penjanaan elektrik terpasang Sarawak adalah sekitar 5.9 gigawatt, dengan 3.6 gigawatt daripadanya disumbangkan oleh tenaga hidro.

“Baleh akan memainkan peranan penting dalam membantu kami mencapai sasaran kapasiti penjanaan 10 gigawatt menjelang 2030,” katanya.

Sementara itu, Sharbini berkata Sarawak Energy turut meneroka pembangunan sistem empangan bertingkat di beberapa lembangan sungai di negeri itu bagi menjana tenaga elektrik.

Menurutnya sebanyak 12 lembangan sungai telah dikenal pasti berpotensi untuk projek berkenaan.

"Sistem penjanaan tenaga bertingkat terdiri daripada beberapa empangan atau struktur bersaiz kecil yang dibina secara bersiri.

“Pada asasnya, ini adalah sistem hidroelektrik aliran sungai. Konsep yang sama boleh ditemui di beberapa negara Eropah dan Australia. Berbanding membina sebuah empangan besar, beberapa struktur kecil dibina di sepanjang sungai.

“Pada masa ini, kami sedang mengkaji lima lembangan sungai. Kami telah mempelawa kontraktor dan pemaju untuk mengemukakan cadangan supaya kami dapat menilai sama ada projek ini berdaya maju dari segi ekonomi," katanya.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2573267