JENAYAH & MAHKAMAH

Tempoh Reman Cucu Pukul Kepala Nenek Dengan Tukul Besi Dilanjutkan Tiga Hari

24/06/2026 05:12 PM

DUNGUN, 24 Jun (Bernama) -- Tempoh reman seorang pemuda disyaki memukul kepala neneknya menggunakan tukul besi sehingga cedera parah di sebuah rumah di Kampung Kuala Abang di sini pada Jumaat lepas disambung selama tiga hari bermula esok.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata perintah sambung reman hingga Sabtu terhadap lelaki berusia 25 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Amira Fatihah Osman selepas mendapat permohonan pihak polis hari ini.

“Suspek sebelum ini ditahan reman selama lima hari bermula Sabtu lepas bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan lelaki itu ditahan selepas dipercayai memukul neneknya berusia 79 tahun sehingga cedera parah pada bahagian kepala.

Pemuda yang mempunyai masalah kesihatan mental itu dikatakan bertindak agresif selepas dihalang keluar rumah sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2572477