EKONOMI

BNM Lancar Portal 'Semak Kasih' Mudahkan Waris Semak Polisi Insurans, Sijil Takaful

26/06/2026 06:44 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Jun (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan portal ‘Semak Kasih’ hari ini bagi memudahkan waris menyemak sama ada ahli keluarga mereka mempunyai polisi insurans atau sijil takaful yang masih boleh dituntut.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata portal berkenaan diperkenalkan bagi membantu waris menyemak kewujudan perlindungan insurans atau takaful serta menghubungi penyedia berkaitan untuk tindakan lanjut.

"Perlindungan insurans dan takaful tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia mampu membantu keluarga ketika berdepan pelbagai kesukaran termasuk kos rawatan perubatan, kebakaran dan kemalangan malah masih terdapat keluarga tidak menyedari bahawa insan tersayang telah meninggalkan perlindungan takaful atau insurans untuk kebajikan mereka," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Celik Kewangan Terengganu di Mayang Mall di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) Mark O'Dell dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Mohd Radzuan Mohamed.

Dalam pada itu, beliau berkata rakyat Malaysia disaran memperkukuh perlindungan kewangan melalui insurans atau takaful, di samping meningkatkan tahap celik kewangan bagi menghadapi cabaran ekonomi dan kos sara hidup yang semakin mencabar.

Adnan Zaylani berkata perlindungan insurans atau takaful mampu membantu individu dan keluarga ketika berdepan musibah seperti penyakit, kemalangan atau kebakaran, selain memastikan kebajikan waris terus terpelihara.

Beliau berkata berdasarkan anggaran Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), kira-kira 50,000 polisi insurans dan sijil takaful melibatkan manfaat kematian masih belum dituntut oleh waris.

"Pelbagai usaha telah dilakukan oleh syarikat insurans dan takaful termasuk menghantar surat serta menggunakan ejen untuk menghubungi waris. Bagi meningkatkan kecekapan proses pembayaran tuntutan manfaat, pada hari ini saya berbesar hati melancarkan portal Semak Kasih.

"Portal ini memudahkan waris menyemak kewujudan perlindungan serta menghubungi penyedia berkaitan untuk tindakan lanjut bagi memastikan manfaat tersebut sampai kepada keluarga yang berhak," katanya.

Adnan Zaylani berkata sektor kewangan turut terus menyokong usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui pelbagai skim pembiayaan, termasuk pembiayaan mikro tanpa cagaran sehingga RM100,000.

Beliau berkata BNM turut menyediakan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS berjumlah RM5 bilion bagi membantu syarikat yang terjejas akibat konflik di Asia Barat, dengan pembiayaan modal kerja sehingga RM750,000.

Menurutnya, inisiatif iTEKAD pula telah memberi manfaat kepada lebih 14,000 peserta di seluruh negara, termasuk kira-kira 600 peserta di Terengganu dalam usaha meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan mereka.

"Forum Pendidikan Kewangan (FEN) juga komited memastikan manfaat kewangan dapat diakses semua lapisan masyarakat termasuk komuniti orang kurang upaya (OKU) menerusi pembangunan sebuah laman sesawang sebagai pusat sehenti pendidikan kewangan lebih inklusif dan mesra pengguna," katanya.

Dalam pada itu, Adnan Zaylani mengingatkan orang ramai supaya menggunakan kemudahan kewangan digital secara berhemah kerana walaupun pendigitalan membuka lebih banyak peluang ekonomi, ia turut meningkatkan risiko penipuan dan perbelanjaan berlebihan.

Beliau berkata kajian menunjukkan kira-kira 37 peratus rakyat Malaysia cenderung melakukan pembelian secara impulsif dalam talian, manakala 26 peratus mengakui mempunyai beban hutang yang terlalu tinggi.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan pendidikan kewangan sejak usia muda bagi membantu generasi akan datang membuat keputusan kewangan yang lebih bijak.

Beliau berkata antara usaha dilaksanakan termasuk pertandingan MyDuitStory serta pelancaran Program FEN PROAKTIF 2.0 dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi mempersiapkan pelajar menghadapi alam pekerjaan dengan asas pengurusan kewangan yang kukuh.

Beliau berkata amalan menyimpan secara konsisten sejak usia muda mampu memberikan pulangan besar dalam jangka panjang dan membantu membina masa depan kewangan yang lebih terjamin.

"Kita mungkin tidak dapat mengawal keadaan ekonomi global atau perubahan teknologi, tetapi kita boleh mengawal keputusan kewangan yang kita buat setiap hari. Pilihlah untuk menyimpan, berbelanja secara berhemah, melindungi diri dan terus menambah ilmu," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2573422