JENAYAH & MAHKAMAH

TUDM Rancang Ganti Pesawat C-130 Seiring Keperluan Operasi

18/06/2026 02:00 PM

SUBANG, 18 Jun (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merancang untuk menggantikan pesawat pengangkut C-130 Hercules sedia ada selari dengan peningkatan keperluan operasi dan faktor usia aset berkenaan yang semakin uzur.

Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata perancangan itu diberi perhatian khusus memandangkan pesawat C-130 Hercules terawal yang diterima TUDM kini mencecah usia 50 tahun, manakala pesawat paling muda berusia 31 tahun.

Beliau berkata faktor peningkatan kos penyelenggaraan pesawat lama dan kelebihan teknologi serta kapasiti beban pada pesawat generasi baharu menjadikan penggantian C-130 satu keperluan, walaupun keupayaan model sedia ada itu telah terbukti.

"Tugas TUDM akan menjadi lebih besar dan lebih mencabar, justeru kita memerlukan aset yang berkeupayaan untuk melaksanakan tugas tersebut,” katanya kepada pemberita ketika Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia Ke-68, di sini, hari ini.

TUDM ketika ini memiliki 10 pesawat C-130 Hercules yang terdiri daripada beberapa varian.

Muhamad Norazlan berkata TUDM sedang menjalankan kajian bagi penggantian pesawat tempur pelbagai peranan dan penambahan pesawat tempur ringan (LCA) menjelang 2035 kerana aset sedia ada sekarang ini dijangka berdepan isu keusangan dan sokongan penyelenggaraan pada masa tersebut.

Selain itu, katanya, TUDM belum membuat ketetapan sama ada pesawat generasi 4.5, kelima atau keenam yang akan dipilih kerana perolehan aset baharu perlu mengambil kira Dasar Pertahanan Negara yang bersifat defensif.

Sementara itu, Muhamad Norazlan memaklumkan kesiapsiagaan TUDM bagi menerima pesawat tempur ringan FA-50 kini berada pada tahap 90 peratus dengan kemudahan infrastruktur di Pangkalan Udara Kuantan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober ini.

Katanya, enam juruterbang TUDM kini sedang mengikuti latihan penerbangan pesawat FA-50 di Gwangju Airbase, Korea Selatan bersama kumpulan sokongan teknikal dengan dua daripada mereka dijadualkan tamat latihan pada Oktober manakala baki empat lagi pada Disember ini.

“Apabila mereka balik, sudah boleh mula terbang, kita hanya perlu menubuhkan skuadron dan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) mengikut keperluan TUDM," katanya. 

Muhamad Norazlan berkata kehadiran FA-50 akan membolehkan TUDM melatih lebih ramai juruterbang secara tempatan sebelum mereka beralih kepada pesawat yang lebih canggih.

Kementerian Pertahanan memeterai kontrak dengan Korea Aerospace Industries (KAI) pada 2023 bagi pemerolehan 18 buah pesawat FA-50 dengan dua pesawat pertama dijangka diterima oleh pada Oktober ini, manakala selebihnya secara berperingkat.

-- BERNAMA

KEYWORDS
        
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569844