KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Sunway Construction Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Sunway Construction Group Bhd, telah menerima arahan perubahan permintaan perkhidmatan projek bagi pembinaan dan menyiapkan pencawang untuk dua projek pusat data di Johor.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, SunCon memaklumkan arahan perubahan itu diterima daripada sebuah syarikat teknologi multinasional yang beribu pejabat di Amerika Syarikat .
SunCon menyatakan, nilai kontrak agregat bagi kerja-kerja itu telah meningkat kepada RM865.6 juta susulan penerimaan perubahan arahan berjumlah RM664.4 juta.
“Kerja-kerja itu bermula pada 21 April, 2026 dan salah satu projek dijadual siap pada suku keempat 2027 manakala projek lain dijadual selesai pada suku kedua 2028,” katanya.
Syarikat itu memaklumkan, tanpa sebarang keadaan di luar jangka, kerja-kerja itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan SunCon Group bagi tempoh kewangan berakhir pada 31 Dis, 2026 dan seterusnya.
-- BERNAMA