EKONOMI

Perodua Kurangkan Harga Alat Ganti Penyelenggaraan Sehingga 10 Peratus

18/06/2026 06:12 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Perusahan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) sedang mengurangkan harga alat ganti penyelenggaraan servisnya termasuk tenaga kerja sehingga 10 peratus, mulai 19 Jun.

Pembuat kereta itu berkata inisiatif tersebut selaras dengan usaha Perodua untuk membantu rakyat Malaysia menangani kenaikan kos sara hidup.

"Kempen ini merangkumi semua model Perodua termasuk model kenderaan elektriknya, QV-E, bermula daripada pemeriksaan, penggantian alat ganti serta kos tenaga kerja yang berkaitan penyelenggaraan kenderaan," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata penurunan harga itu adalah berdasarkan harga alat ganti penyelenggaraan serta kos tenaga kerja.

Secara keseluruhan, pelanggan dijangka melihat penjimatan kira-kira 10 peratus pada purata bil servis mereka, katanya.

“Kami mengalu-alukan pelanggan kami untuk melawat pusat servis sah kami bagi mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran ini dan menggunakan alat ganti tulen, supaya kenderaan Perodua anda akan terus kekal andal serta cekap.

“Kami percaya bahawa pengurangan dalam kos servis akan membantu pelanggan dalam menjimatkan kos mobiliti mereka, dan kami di Perodua akan melakukan bahagian kami untuk memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan kami,” katanya.

Tahun lepas, sebanyak 3.7 juta kenderaan telah diselenggara di pusat servis Perodua di seluruh negara.

Zainal Abidin menyatakan terdapat lebih daripada lima juta kenderaan Perodua di jalan raya, selain menambah bahawa kempen itu akan membolehkan Perodua memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada majoriti rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569994