TOKYO, 16 Jun (Bernama-Kyodo) -- Bank of Japan (BOJ) menaikkan kadar asas utamanya ke tahap tertinggi dalam tempoh 31 tahun kepada 1.0 peratus pada Selasa, serta memberi amaran tentang peningkatan risiko inflasi ekoran harga minyak mentah yang melonjak akibat konflik di Asia Barat dan penyusutan nilai yen, lapor Kyodo News.
Bank pusat itu, tanpa kehadiran Gabenor Kazuo Ueda yang kini dirawat di hospital, menaikkan kadar faedah jangka pendek daripada 0.75 peratus dalam kenaikan pertama sejak Disember lepas. BOJ menyatakan bahawa walaupun perjanjian AS-Iran untuk menamatkan perang baru-baru ini merupakan perkembangan positif tetapi ia masih meninggalkan ketidaktentuan terhadap ekonomi.
Tindakan bank pusat itu menaikkan kadar faedah selepas mengekalkannya dalam tiga mesyuarat sebelum ini, mengembalikan dasarnya ke landasan normalisasi selepas sedekad melaksanakan pelonggaran monetari luar biasa yang berakhir pada Mac 2024.
BOJ dalam satu kenyataan memaklumkan terdapat risiko inflasi asas akan meningkat melebihi sasarannya sebanyak dua peratus berikutan kenaikan harga minyak mentah mendorong syarikat menaikkan harga dalam transaksi perniagaan-ke-perniagaan "pada kadar yang agak cepat", yang seterusnya boleh "merebak kepada peningkatan harga pengguna bagi pelbagai barangan."
Timbalan Gabenor BOJ Shinichi Uchida dalam satu sidang media selepas mesyuarat itu berkata bank pusat akan terus menaikkan kadar berkenaan bagi menstabilkan inflasi pada sekitar sasaran dua peratus, dengan menilai bahawa keadaan kewangan kekal akomodatif walaupun selepas kenaikan terbaharu ini.
Uchida berkata antara faktor utama di sebalik keputusan menaikkan kadar itu termasuklah pengurangan risiko terhadap ekonomi hasil daripada langkah kerajaan untuk memastikan sumber alternatif bahan mentah, termasuk import minyak dari rantau selain Asia Barat.
-- BERNAMA-KYODO