EKONOMI

Pemindahan TERAJU Ke JPM Perluas Peluang Realisasikan Agenda PuTERA35 - Akmal Nasrullah

16/06/2026 11:21 AM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Pemindahan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) ke bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) membuka peluang luas bagi agensi tersebut merealisasikan agenda Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata pemindahan tersebut akan memperkukuh kedudukan TERAJU, sekali gus memperluas lagi kejayaan dan meningkatkan kemajuan agensi tersebut.

“Bagi TERAJU, asas utama telah tersedia. Melangkah ke hadapan, hala tujunya telah ditetapkan dengan jelas, dengan program utama seperti XCELERATE dan Dana Pengambilalihan Strategik Bumiputera (BSAF) telah diwujudkan.

“Mulai tahun ini, tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan. TERAJU menyasarkan untuk melahirkan 20 syarikat bumiputera senaraian awam dan saya berharap ia akan terus fokus dalam memacu agenda (PuTERA35),” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa TERAJU yang dipantau Kementerian Ekonomi, kini dipindahkan menjadi agensi di bawah JPM bagi memantapkan pemantauan program pembangunan bumiputera, khususnya inisiatif di bawah PuTERA35.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata komitmen pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam perniagaan bumiputera ditingkatkan kepada RM2 bilion bagi tahun ini berbanding RM1.3 bilion pada 2025.

Sementara itu, Akmal Nasrullah menggalakkan lebih banyak syarikat bumiputera untuk melihat pasaran modal sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjang mereka.

Beliau berkata syarikat bumiputera perlu memperkukuh tadbir urusnya, membina kepimpinan profesional, meningkatkan disiplin kewangan dan melabur dalam inovasi.

“Inilah kualiti yang dicari pelabur. Bukan sahaja angka yang kukuh tetapi kredibiliti, daya tahan dan keupayaan untuk memberikan nilai yang mampan.

“Dalam usaha Malaysia merealisasikan aspirasi PuTERA35, kita memerlukan lebih banyak syarikat (bumiputera) yang kukuh dari segi komersial, berdaya saing pada peringkat global dan mampu menyumbang kepada kemakmuran negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569008