Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Isnin, seiring dengan prestasi ekuiti serantau apabila sentimen risiko geopolitik bertambah baik susulan perjanjian sementara antara Amerika Syarikat dan Iran untuk membuka semula Selat Hormuz, kata penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.76 mata atau 0.46 peratus kepada 1,691.39 daripada 1,683.63 ketika ditutup Jumaat lepas.
Indeks utama itu dibuka 6.76 mata lebih tinggi kepada 1,690.39 pagi tadi dan bergerak antara 1,688.04 hingga 1,697.48 sepanjang sesi dagangan hari ini.
Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 789 berbanding 483, manakala 467 kaunter tidak berubah, 1,034 kaunter tidak diniagakan dan 36 digantung dagangan.
Jumlah dagangan melonjak kepada 5.02 bilion unit bernilai RM3.91 bilion daripada 2.79 bilion unit bernilai RM2.31 bilion pada Jumaat lepas.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata perjanjian antara AS dan Iran itu telah meredakan kebimbangan jangka pendek terhadap gangguan bekalan tenaga serta mengurangkan premium risiko geopolitik dalam pasaran aset global.
“Walaupun hala tuju ke arah penyelesaian menyeluruh masih tidak menentu namun deflasi telah mewujudkan persekitaran yang lebih positif untuk aset berisiko, menyokong sentimen pelabur di seluruh pasaran yang sedang pesat membangun termasuk Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pelabur dinasihatkan supaya terus berhati-hati kerana perjanjian damai itu masih belum ditandatangani secara rasmi dan risiko geopolitik masih ada.
Beliau berkata bagaimanapun, penurunan harga minyak mentah dan peningkatan minat risiko dalam pasaran serantau dijangka terus menyokong pasaran tempatan.
“Melangkah ke hadapan, kami mengekalkan pandangan yang berhati-hati namun optimis terhadap pasaran, walaupun pelabur dijangka kekal selektif berikutan ketidaktentuan geopolitik yang masih berlarutan serta kebimbangan terhadap prospek ekonomi global.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,680 hingga 1,700 sepanjang minggu ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 20 sen kepada RM10.92, Public Bank naik sembilan sen kepada RM4.92, Tenaga Nasional menambah enam sen kepada RM14.48, dan CIMB melonjak 30 sen kepada RM7.69, manakala IHH Healthcare susut sembilan sen kepada RM8.69.
Bagi saham aktif, Hong Seng naik setengah sen kepada 1.5 sen, Pentech yang baru diniagakan di Pasaran ACE menokok enam sen kepada 26 sen dan Dagang NeXchange bertambah empat sen kepada 40.0 sen, Tanco turun tujuh sen kepada 13.0 sen manakala Zetrix AI kekal pada 81.0 sen.
Antara kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak RM1.50 kepada RM49.00, Fraser & Neave meningkat 76 sen kepada RM27.50, UMS menokok 68 sen kepada RM8.70, UWC naik 60 sen kepada RM6.20 dan Pentamaster bertambah 52 sen kepada RM4.83.
Bagi kaunter paling rugi, Nestle merosot RM1.10 kepada RM94.50, Paragon susut 98 sen kepada RM2.29, Petronas Chemicals turun 82 sen kepada RM4.52, Press Metal menguncup 57 sen kepada RM8.40, manakala Dutch Lady berkurangan 24 sen kepada RM32.80.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 86.31 mata kepada 12,560.93; Indeks FBM Top 100 menokok 78.77 mata kepada 12,394.71; Indeks FBM Mid 70 melonjak 208.63 mata kepada 18,092.78, manakala Indeks FBM ACE menambah 83.20 mata kepada 4,751.87.
Indeks FBM Emas Syariah turun 0.53 mata kepada 12,421.77.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 347.0 mata kepada 19,991.36; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 7.29 mata kepada 189.64, Indeks Tenaga berkurangan 14.91 mata kepada 760.46, dan Indeks Perladangan susut 23.06 mata kepada 8,729.02.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.93 bilion unit bernilai RM3.45 bilion daripada 1.45 bilion unit bernilai RM2.02 bilion pada Jumaat lepas.
Jumlah dagangan waran melonjak kepada 1.36 bilion unit bernilai RM187.84 juta daripada 888.91 juta unit bernilai RM129.37 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE pula sebanyka 727.70 juta unit bernilai RM273.33 juta berbanding 447.1 juta unit bernilai RM160.05 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 335.70 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (443.93 juta), pembinaan (184.78 juta), teknologi (949.16 juta), perkhidmatan kewangan (71.27 juta), hartanah (457.17 juta), perladangan (33.55 juta), amanah pelaburan hartanah (24.53 juta), dana tertutup (521,200), tenaga (118.98 juta), penjagaan kesihatan (165.30 juta), telekomunikasi dan media (71.51 juta), pengangkutan dan logistik (32.92 juta), utiliti (43.10 juta) serta amanah perniagaan (235,700).
-- BERNAMA