PETALING JAYA, 15 Jun (Bernama) -- Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) melaksanakan program rintis Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) Master Class bagi melonjakkan daya saing golongan berkenaan.
Ketua Pengarah PERHEBAT Datuk Amir Md Noor berkata sebanyak 180 peniaga kecil dan usahawan mikro dalam kalangan veteran tentera disasar mampu melonjakkan potensi perniagaan mereka menerusi inisiatif berkenaan.
Beliau berkata program bimbingan itu bukan sahaja bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran perniagaan dalam kalangan veteran, malah direka khusus untuk membina ekuiti bumiputera yang kukuh di pasaran.
"Niat kita melalui kerjasama dengan pihak INSKEN ini, satu hari nanti mereka semua ini akan menjadi jutawan. Kita hendak melahirkan jutawan dalam kalangan veteran tentera," katanya pada majlis pelancaran program itu di sini hari ini.
Menerusi PUVET ATM Master Class, peserta didedahkan dengan amalan terbaik perniagaan serta mengikuti sesi bimbingan intensif secara individu bersama jurulatih industri bertauliah selama tiga bulan bagi memastikan pemantauan prestasi jualan yang lebih strategik.
Amir berkata INSKEN dipilih kerana agensi itu memiliki kepakaran dan mekanisme untuk turun padang memantau nilai kejayaan usahawan berbanding pendekatan PERHEBAT sebelum ini yang lebih menumpukan kepada kemahiran latihan teori semata-mata.
Beliau berkata sejak inisiatif PUVET ATM dilaksanakan bermula pada 2023, sebanyak 313 veteran ATM di seluruh negara telah menerima manfaat pembiayaan di bawah Geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).
Suntikan dana geran berjumlah RM1.6 juta itu, katanya merupakan manifestasi keberhasilan kerjasama erat yang digerakkan oleh PERHEBAT bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Menyentuh mengenai Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035, beliau berkata setakat Mei lepas sejumlah 1,224 peluang pekerjaan berjaya disediakan manakala 631 veteran telah mendapat pekerjaan dalam sektor berprestasi tinggi dengan skala gaji RM2,500 hingga RM5,000.
-- BERNAMA