KOTA KINABALU, 15 Jun (Bernama) -- Penganjuran Regatta Lepa Semporna bermula 26 Jun ini dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung, sekali gus memberikan impak ekonomi yang besar kepada penduduk daerah itu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Jafry Ariffin berkata perayaan edisi ke-31 bertemakan "Regatta Lepa: Pesona Budaya, Tarikan Dunia" dijadualkan berlangsung selama tiga hari hingga 28 Jun.
"Penganjuran Regatta Lepa dijangka merancakkan ekonomi setempat melalui peningkatan permintaan terhadap penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan, kraf tangan serta produk pelancongan.
“Ia juga menyokong usaha promosi pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya pada sidang media pelancaran Regatta Lepa Semporna 2026 di sini hari ini.
Regatta Lepa ialah perayaan tradisi dan acara kebudayaan ikonik Sabah yang melambangkan warisan maritim masyarakat Bajau Semporna yang bermula sebagai penghargaan terhadap perahu lepa sebagai pengangkutan utama masa silam, sebelum kini berkembang menjadi acara berprestij bertaraf antarabangsa.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Regatta Lepa Semporna Mas Syazwan Masood, yang juga Pegawai Daerah Semporna dalam sidang media sama berkata penganjuran kali ini padat dengan pelbagai pengisian program utama yang unik bagi menonjolkan warisan budaya Bajau Laut.
Beliau berkata tirai program akan dibuka pada 26 Jun dengan acara Malam Sangom Maglami-Lami di Dataran Regatta Lepa yang menampilkan persembahan tarian etnik, pertunjukan busana tradisional dan pertandingan Ratu Lepa 2026 yang dijadual dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
"Selain acara kemuncak Perarakan Lepa Tradisi dan Lepa Berhias pada pagi 27 Jun, jawatankuasa turut menambah pengisian Acara Sukan Laut seperti Lumba Perahu, Selam Piring dan Tarik Tali Perahu," katanya.
Mas Syazwan berkata Sangom Penangguhan pada 27 Jun di Padang Pekan Semporna pula akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
Selain program utama, aktiviti sampingan seperti acara Lepa Run, gerai jualan usahawan tempatan, serta pertandingan Lepa Golf turut diadakan pada 28 Jun bagi memeriahkan lagi festival kebudayaan berkenaan.
-- BERNAMA