JOHOR BAHRU, 18 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah berhasrat untuk menaik taraf Taman Hidupan Liar Lok Kawi di Putatan dengan menjadikan Zoo Johor sebagai antara model pembangunan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata dianggarkan sebanyak RM50 juta diperlukan bagi menambah baik taman hidupan liar itu.
“Taman Hidupan Liar Lok Kawi ini memang sudah lama (wujud), kita ada banyak haiwan, gajah pun ada dalam 16 ekor bagi rehabilitasi dan dipamer kepada pelancong.
“Namun dari segi infrastruktur harus ditambah baik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas melawat Zoo Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata kemudahan dan persekitaran kondusif yang dinikmati pengunjung di Zoo Johor serta aktiviti seperti Night Zoo boleh diadaptasikan di taman hidupan liar berkenaan.
“Saya lihat Zoo Johor memberi akses yang sangat baik untuk orang awam terutama mereka yang berkeluarga. Sesuai untuk bersantai bagi tujuan lawatan serta pendidikan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar perancangan bagi menaik taraf taman hidupan liar yang dibuka sejak 2007 itu dapat menjadi kenyataan, sekali gus menjadikannya sebagai antara zoo tumpuan utama pelancong.
Terdahulu, beliau berkata kunjungannya ke Zoo Johor hari ini adalah bagi meninjau pembangunan dan melihat sendiri bagaimana zoo berkenaan beroperasi.
Zoo Johor yang dibuka pada 1928 itu ditutup pada 2020 ketika pandemik COVID-19 dan seterusnya menjalani beberapa fasa naik taraf, sebelum dibuka secara rasmi pada 31 Ogos 2024.
-- BERNAMA