GAYA HIDUP

Galeri Tsunami Kuala Muda Abadikan Tragedi 2004

18/06/2026 10:55 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

SUNGAI PETANI, 18 Jun (Bernama) -- Walaupun tragedi tsunami yang melanda Kuala Muda dekat sini berlaku lebih dua dekad lepas, kesannya terhadap penduduk setempat masih kekal terpahat dalam ingatan dan dapat dilihat hingga hari ini menerusi Galeri Tsunami Kuala Muda.

Terletak kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar Sungai Petani, galeri berkenaan dibangunkan di atas tapak rumah sebuah keluarga yang terjejas dalam kejadian  pada 26 Dis 2004 itu. 

Galeri yang berada di bawah pengurusan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) itu menempatkan pelbagai bahan dokumentasi termasuk gambar, video dan maklumat berkaitan tragedi berkenaan, selain berfungsi sebagai pusat pendidikan serta rujukan bagi pengunjung yang ingin memahami kesan tsunami terhadap komuniti setempat.

pic-2

Ahli Jawatankuasa Perhubungan dan Pelancongan Pertubuhan Komuniti Dataran Tsunami Anas Ismail berkata galeri itu diwujudkan bagi memastikan peristiwa yang pernah mengubah kehidupan penduduk Kuala Muda tidak dilupakan oleh generasi akan datang.

“Galeri itu menempatkan gambar, video dan pelbagai bahan dokumentasi yang dikumpulkan daripada agensi kerajaan serta komuniti setempat bagi memberikan gambaran sebenar mengenai impak bencana tersebut,” katanya kepada Bernama sempena program Surreal Experience In The North Kedah & Perlis anjuran Tourism Malaysia Wilayah Utara baru-baru ini.

Menurutnya, MPSPK turut membina monumen dikenali sebagai Tugu Tsunami yang menampilkan 26 bot nelayan sebagai simbolik tarikh kejadian tsunami yang melanda Kuala Muda, di persimpangan jalan masuk ke Kampung Kepala Jalan, Kota Kuala Muda.

pic-3

Anas yang juga antara mangsa bencana itu, berkata kawasan berkenaan kini menjadi antara lokasi yang sering dikunjungi pelawat dari dalam dan luar negara termasuk peserta program akademik dan penyelidikan yang ingin mengetahui kesan tsunami terhadap komuniti setempat.

"Ramai yang datang melalui program universiti dan lawatan pendidikan. Ada yang datang dari luar negara seperti Poland, Greece dan Amerika Syarikat untuk melihat sendiri kesan tsunami serta mendengar pengalaman penduduk," katanya.

Beliau yang juga pemandu pelancong berlesen di bawah Jerai Geopark berkata galeri itu turut memainkan peranan sebagai pusat pendidikan bencana dengan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai risiko tsunami dan langkah kesiapsiagaan yang perlu diambil

pic-4

“Kawasan Kuala Muda juga kini dilengkapi sistem siren amaran tsunami yang diuji secara berkala sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan penduduk,” katanya. 

Anas berkata pihak komuniti turut berharap galeri itu dapat terus diperkasakan pada masa depan dengan penambahan aktiviti pelancongan dan produk komuniti bagi menarik lebih ramai pengunjung.

"Apabila orang datang ke sini, mereka bukan sahaja dapat melihat kesan tragedi tsunami tetapi juga mendengar sendiri pengalaman sebenar daripada penduduk yang melaluinya," katanya.

Bagi Pengerusi Majlis Ketua Kampung Kampung Kepala Jalan, Idris Husin, 73, bencana berkenaan meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh komuniti setempat yang kehilangan ahli keluarga, kediaman dan sumber pendapatan.

pic-5

Beliau berkata sebelum tsunami melanda, penduduk menyedari beberapa kejadian luar biasa termasuk air laut yang surut secara mendadak sehingga dasar sungai dan kawasan pesisir dapat dilihat dengan jelas, sesuatu yang tidak pernah mereka saksikan sebelum itu.

"Ramai penduduk keluar melihat keadaan itu kerana tidak pernah menyaksikannya sebelum ini. Tidak lama kemudian, ombak besar pun datang melanda menghanyutkan segalanya, sekali gus mengubah seluruh landskap kampung kami dalam sekelip mata," katanya.

Berpunca daripada gempa bumi berukuran 9.3 pada skala Richter di pantai barat Sumatera, Indonesia, tragedi tsunami pada 26 Dis 2004 menghasilkan ombak gadang yang menjejaskan beberapa negara termasuk Sri Lanka, India, Thailand dan Malaysia. Di Kuala Muda, bencana berkenaan menyebabkan 4,278 penduduk dipindahkan, selain merosakkan 87 rumah, 309 bot nelayan dan 173 kenderaan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569774