KUALA TERENGGANU, 18 Jun (Bernama) -- Deretan rumah kedai lama yang menjadi identiti Kampung Cina di sini semakin sepi apabila majoriti penduduk di situ terdiri daripada warga emas susulan penghijrahan generasi muda untuk mencari peluang pekerjaan lebih baik.
Walaupun berhadapan fenomena penuaan komuniti, kawasan warisan berusia lebih 300 tahun itu masih berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan warisan yang mampu menghidupkan semula ekonomi setempat.
Wakil komuniti Kampung Cina yang juga penyelidik Lorenz Law, 65, berkata Kampung Cina dipercayai didiami masyarakat Cina sejak abad ke-17 apabila golongan perantau dari wilayah Hokkien di selatan China mencari kehidupan baharu.
Pada peringkat awal, Law berkata masyarakat Cina membina penempatan awal di Bukit Datu, Manir, Pulau Bahagia, Telemong, Kampung Tiruk, Wakaf Tapai sehingga Kuala Berang.
“Memasuki abad ke-18, Kampung Cina mula berkembang sebagai pusat perdagangan penting hasil kehadiran pedagang dari pelbagai negara termasuk India, China, Vietnam dan Thailand,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Law berkata Kampung Cina terkenal dengan deretan rumah kedai dua tingkat bercirikan vernakular Cina yang dibina seawal abad ke-19 dengan sebahagian besar bangunan masih mengekalkan struktur kayu, pintu lama dan jubin asal.
Kawasan itu juga dikenali menerusi identiti masyarakat Cina Peranakan yang mengekalkan penggunaan loghat Terengganu dan mengamalkan budaya tempatan dalam kehidupan harian dengan jumlah penduduk di situ kini dianggarkan kira-kira 1,500 orang, dengan bilangan warga emas lebih 70 tahun semakin berkurangan.
“Di Jalan Kampung Cina sahaja, warga emas berusia lebih 70 tahun mungkin kira-kira 20 orang dan jika termasuk kawasan sekitar seperti Kampung Tiong jumlahnya mungkin 50 orang. Jika ini berterusan, kawasan ini mungkin menjadi semakin sepi dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.
Law berkata generasi muda berusaha menghidupkan semula kawasan itu menerusi pembukaan hotel dan pelbagai premis perniagaan pada 2010, selain usaha pemuliharaan juga dilakukan pada 2004 seperti mengecat semula bangunan serta menaik taraf infrastruktur termasuk membina laluan pejalan kaki konkrit satu kilometer pada 2005.
Antara tarikan utama Kampung Cina, menurut Law ialah seni bina bangunan yang unik dengan pengaruh pelbagai negara seperti China, Vietnam, Thailand, India serta negara Eropah termasuk England, Perancis, Sepanyol dan Portugal.
Selain itu, Law berkata budaya masyarakat Peranakan Cina di kawasan itu turut menampilkan keunikan tersendiri termasuk dari segi makanan dan gaya hidup yang dipengaruhi budaya Melayu.
“Kebanyakan masyarakat Cina di sini gemar menikmati nasi dagang, nasi lemak dan nasi minyak selain menggemari ulam dan makan dengan menggunakan tangan seperti masyarakat Melayu,” katanya.
Law berkata Kampung Cina mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan warisan bertaraf antarabangsa jika usaha pemuliharaan dan promosi dilaksanakan secara berterusan.
Sementara itu, pemilik kedai jahitan di situ Gau Mekhua, 73, berkata usia dan persaingan perniagaan bukan alasan untuk menutup perniagaan yang telah diusahakan sejak puluhan tahun lepas, sebaliknya wanita itu masih tekun mengendalikan mesin jahit setiap hari walaupun kudratnya tidak lagi seperti pada usia muda.
Wanita itu berkata perniagaan jahitan kini lagi meriah seperti dahulu berikutan kemunculan pakaian siap yang dijual pada harga murah selain persaingan daripada butik moden.
“Dulu ramai menempah baju terutama pada musim perayaan. Sekarang tempahan semakin berkurangan kerana ramai memilih membeli pakaian siap namun pelanggan lama masih datang kerana mereka percaya dengan hasil jahitan saya,” katanya.
Pemilik kedai peralatan dan barangan Phua Siong Khoon, 68, berkata perubahan corak pembelian masyarakat turut memberi cabaran besar kepada perniagaan tradisional sepertinya kerana lebih ramai memilih untuk membeli-belah di pasar raya atau platform dalam talian.
Bagaimanapun, Phua berkata tetap membuka kedainya setiap hari walaupun jumlah pelanggan tidak seramai dahulu kerana perniagaan itu bukan sekadar sumber pendapatan, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sejak muda selain masih mendapat sokongan pelanggan setia.
Sementara itu, pemilik kedai runcit, Ma Suat Ngo, 86, berkata tidak pernah menyangka kedai kecil miliknya masih mampu bertahan walaupun berhadapan saingan pasar raya moden, menyebabkan dirinya bersyukur kedai itu masih menjadi pilihan penduduk setempat untuk mendapatkan barangan harian.
“Sekarang orang lebih suka ke pasar raya besar, tetapi masih ada pelanggan yang ke sini kerana lokasi yang dekat dan mudah. Ada pelanggan sudah membeli di sini sejak kecil lagi dan itu yang membuatkan saya masih bersemangat untuk terus berniaga,” katanya.
Ma berharap perniagaan di situ diteruskan oleh generasi seterusnya supaya tidak lenyap ditelan zaman dan seterusnya hanya menjadi kenangan di Kampung Cina, selain bersetuju dengan potensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan warisan bertaraf antarabangsa jika usaha ke arah itu dilaksanakan secara berterusan.
-- BERNAMA