ALOR SETAR, 15 Jun (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyita 18 motosikal dalam Ops Pemandu Warga Asing (PeWA) di Jitra, Jumaat lepas.
Pengarah JPJ Kedah Stien Van Lutam berkata tindakan itu melibatkan penunggang dan pembonceng warga asing etnik Rohingya yang mendakwa motosikal digunakan secara pinjaman dengan kebenaran pemilik.
Beliau berkata dalam operasi selama tiga jam bermula 9 pagi itu, sebanyak 160 notis saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan antaranya memandu tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta beberapa pelanggaran peraturan jalan raya lain.
“Setiap pengguna jalan raya wajib mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan keselamatan serta pematuhan peraturan jalan raya sentiasa terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Van Lutam berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kesalahan trafik boleh menyalurkan aduan melalui aplikasi MyJPJ (e-Aduan@JPJ) atau emel ke aduantrafik@jpj.gov.my.
-- BERNAMA