Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) merupakan antara masalah kesihatan wanita yang paling sering disalahfahami, dengan ramai mengaitkan penyakit ini hanya dengan masalah kesuburan. Namun, pakar perubatan menegaskan gangguan ini memberi kesan yang jauh lebih luas daripada sekadar ovari.
Bagi mencerminkan kerumitan masalah ini dengan lebih tepat, pakar perubatan sepakat menamakan semula PCOS sebagai Sindrom Ovari Metabolik Poliendokrin (PMOS), yang berkuat kuasa pada 12 Mei 2026, menyusuli penerbitan satu kajian konsensus antarabangsa dalam jurnal perubatan tertua dan terkemuka dunia, The Lancet.
Seperti rakan sejawat mereka di seluruh dunia, profesional penjagaan kesihatan di Malaysia turut menyambut baik perubahan nama itu yang disifatkan mereka mengetengahkan implikasi hormon dan metabolik yang lebih luas, sekali gus berpotensi meningkatkan pemahaman awam, diagnosis serta penjagaan jangka panjang.
PCOS mula dikenal pasti penyelidik pada 1930-an dan dinamakan sedemikian berdasarkan pemerhatian mereka, iaitu wanita yang mengalami keadaan itu mempunyai ovari yang membesar dan dipenuhi kantung kecil berisi cecair.
Bagaimanapun kajian konsensus itu mendapati nama tersebut adalah “tidak tepat kerana memberi gambaran seolah-olah terdapat sista ovari yang bersifat patologi, mengaburkan ciri-ciri endokrin dan metabolik yang pelbagai serta menyumbang kepada kelewatan diagnosis”.
Keadaan kesihatan yang menjejaskan seorang daripada lapan wanita, atau lebih daripada 170 juta kaum Hawa di seluruh dunia itu, dicirikan oleh turun naik hormon yang memberi kesan kepada berat badan, kesihatan metabolik dan mental, kulit serta sistem reproduktif.
PEMAHAMAN LEBIH BAIK
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi serta pakar kesuburan di Sunway Medical Centre Velocity Dr Ashley Chung Soo Bee berkata perubahan nama itu membantu menggalakkan pendekatan lebih menyeluruh dalam pengurusan pesakit PMOS, dengan tumpuan bukan lagi hanya pada masalah kesuburan tetapi juga pemantauan kesihatan keseluruhan dan rawatan jangka panjang.
Beliau berkata istilah PCOS sebelum ini sering menimbulkan salah faham kerana memberi penekanan kepada sista ovari, sedangkan tidak semua pesakit mengalami sista pada ovari mereka.
“PCOS pada awalnya memberi gambaran masalah pada ovari menyebabkan haid tidak teratur dan ketidaksuburan. Oleh itu, ramai lebih memberi tumpuan kepada keadaan ovari.
“Dalam berbuat demikian, mereka terlepas pandang kemungkinan implikasi kesihatan lain. Keadaan ini berkait rapat dengan gangguan metabolik dan endokrin, dengan pesakit berisiko lebih tinggi menghidap penyakit kardiovaskular, diabetes melitus jenis 2 dan rintangan insulin. Sesetengah pesakit juga berisiko mengalami hipertensi serta masalah pada endometrium seperti hiperplasia endometrium, malah kanser endometrium,” katanya dalam temu bual dengan Bernama menerusi aplikasi Zoom.
Dr Chung berkata istilah PMOS memberikan pemahaman yang lebih baik kepada masyarakat, pesakit, malah doktor dan pengamal perubatan am, khususnya dari segi diagnosis dan rawatan.
Pengasas Femma Clinic Dr Alia Zafira Zaferi pula berkata perubahan nama daripada PCOS kepada PMOS adalah perlu kerana istilah lama lebih menumpukan pada rupa bentuk ovari berbanding keadaan penyakit itu sendiri.
“PMOS istilah yang lebih sesuai. Kini lebih ramai akan memahami keadaan ini dengan lebih baik... ia bukan sekadar masalah sistem reproduktif tetapi melibatkan seluruh tubuh. Yang lebih penting, ia merupakan masalah metabolik,” katanya, menambah perubahan nama itu membuka mata para doktor untuk melihat keadaan tersebut dari pelbagai sudut, bukan hanya pada aspek sistem reproduktif.
TIDAK LAGI SEKADAR PEMERIKSAAN ULTRABUNYI
Selain meningkatkan pemahaman tentang keadaan itu, peralihan kepada PMOS juga dijangka mengubah pendekatan diagnosis.
Menurut Dr Alia, diagnosis PMOS tidak lagi bergantung semata-mata pada hasil pemeriksaan ultrabunyi, tetapi turut mengambil kira petunjuk lain, khususnya yang berkaitan dengan kesihatan metabolik dan fungsi endokrin.
“Sebelum ini, untuk mendiagnosis PCOS, anda hanya memerlukan pemeriksaan ultrabunyi dan itu sahaja. Namun sekarang kita memahami saringan ultrabunyi sahaja tidak cukup untuk mendiagnosis PMOS. Kita perlu menjalankan ujian darah yang menyeluruh, pemantauan paras gula darah serta saringan risiko kardiovaskular seperti pemantauan tekanan darah bagi memastikan diagnosis PMOS dibuat dengan tepat,” katanya.
Dari sudut klinikal, Dr Chung berkata peralihan kepada PMOS menekankan keperluan pendekatan penjagaan pesakit yang lebih menyeluruh, melibatkan bukan sahaja pakar ginekologi tetapi juga pakar dalam bidang lain seperti endokrinologi; kardiologi; pakar telinga, hidung dan tekak (ENT); serta pakar dermatologi.
“Ini bukan lagi isu ginekologi semata-mata. Sebagai pakar ginekologi, kami membantu wanita dalam aspek kesuburan dan pengawalan haid. Kami juga meneliti kesihatan rahim dan ovari, tetapi aspek metabolik penyakit ini tidak boleh diabaikan.
“Pengurusan keadaan ini melalui pasukan pelbagai disiplin akan menjadi pendekatan yang lebih ke depan kerana kini kita mengiktiraf PMOS sebagai keadaan yang melibatkan pelbagai sistem tubuh,” katanya, menambah pendekatan tersebut juga dapat mengelakkan kelewatan diagnosis masalah kesihatan lain yang berkaitan dengan PMOS.
PERALIHAN
Walaupun komuniti penjagaan kesihatan di Malaysia menyambut baik peralihan daripada PCOS kepada PMOS, pakar berpendapat proses ini akan berlaku secara berperingkat apabila penyedia perkhidmatan kesihatan menyesuaikan diri dengan istilah dan garis panduan klinikal baharu.
Menurut Dr Chung, walaupun perubahan nama itu perlu, pelaksanaannya dalam sistem penjagaan kesihatan Malaysia memerlukan masa dan kerjasama antara profesional kesihatan di sektor awam dan swasta.
“Di Malaysia, terdapat banyak persidangan antarabangsa dan kebangsaan yang aktif melibatkan doktor klinikal dan pakar ginekologi daripada sektor swasta dan kerajaan. Persatuan profesional kami juga sedang menganjurkan kelas induk serta sesi kemas kini pendidikan tentang PMOS,” katanya.
Dr Chung percaya penggunaan istilah PMOS secara meluas akan berlaku secara beransur-ansur apabila institusi kesihatan mengemas kini sistem mereka.
“Mengubah sesuatu istilah perubatan melibatkan banyak pihak berkepentingan dan memerlukan masa yang panjang. Namun, matlamatnya adalah untuk meningkatkan kesedaran akan PMOS dalam kalangan masyarakat dan pengamal perubatan am, serta menentukan langkah susulan berkaitan garis panduan dan latihan baharu mengenai PMOS,” jelas beliau.
Dr Alia turut sependapat bahawa kemudahan kesihatan di Malaysia mungkin memerlukan sedikit masa untuk menerima pakai istilah baharu itu serta mengemas kini garis panduan dan cadangan terkini berkaitan diagnosis dan rawatan PMOS. Bagaimanapun, beliau berkata kesedaran tentang keadaan tersebut telah meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.