JENAYAH & MAHKAMAH

Lebih 7,000 Etnik Rohingya Dihantar Ke Negara Ketiga Setiap Tahun Sebelum Ini - KPN

15/06/2026 05:15 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Kira-kira 7,000 hingga 8,000 etnik Rohingya dihantar ke negara ketiga setiap tahun sebelum ini menerusi kerjasama antara kerajaan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail.

Bagaimanapun, beliau berkata proses itu kini terhenti susulan pelbagai kekangan yang dihadapi negara-negara terlibat.

Beliau berkata isu etnik Rohingya merupakan isu antarabangsa yang berpunca daripada situasi politik dan keselamatan di Myanmar, menyebabkan Malaysia menerima kehadiran mereka atas pertimbangan kemanusiaan.

“Malaysia mempunyai kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G2G) dengan beberapa negara yang membolehkan pelarian Rohingya ditempatkan sementara sebelum dihantar ke negara ketiga yang memerlukan tenaga kerja atau khidmat profesional mereka.

“Kebelakangan ini, proses penempatan etnik Rohingya ke negara ketiga berdepan beberapa kekangan hingga menyebabkan pergerakan mereka ke negara berkenaan dilihat terhenti, sekali gus menimbulkan pelbagai isu yang memerlukan perhatian semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan, Satu Matlamat, di sini, hari ini.

Mohd Khalid berkata selain itu Malaysia turut mengambil kira aspek kemanusiaan dalam menangani isu berkenaan, di samping memastikan keselamatan negara terus terpelihara.

"Setiap orang yang datang ke negara ini mestilah mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. Mereka ini tertakluk kepada undang-undang kita. Jika mereka melakukan kesalahan, kita ambil tindakan seperti juga terhadap orang lain yang datang ke negara kita," katanya.

Beliau berkata kira-kira 215,000 etnik Rohingya berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) manakala pihak berkuasa tempatan turut mempunyai rekod mereka dengan kerjasama Jabatan Imigresen bagi memudahkan pemantauan.

"Kita tahu di mana lokasi mereka dan apakah pekerjaan mereka. Jadi jika berlaku sebarang jenayah yang melibatkan mereka, mudah untuk kita mengambil tindakan bila kita tahu lokasi mereka dan sebagainya," katanya.

Mengulas trend jenayah membabitkan komuniti itu, Mohd Khalid berkata penglibatan etnik Rohingya dalam jenayah adalah rendah, dengan 89 individu direkodkan terlibat dalam kes jenayah bagi tempoh 2024 hingga tahun ini iaitu 0.02 peratus daripada keseluruhan statistik jenayah di negara ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat kenyataan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam, sambil menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang tanpa mengira kewarganegaraan.

Media pada Sabtu lepas melaporkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kadar penempatan ke negara ketiga oleh UNHCR terlalu rendah bagi pelarian termasuk Rohingya yang mana antara puncanya golongan itu kekal berada di tengah-tengah masyarakat tempatan dalam tempoh yang lama.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata negeri itu mencatatkan 192 kes membabitkan 300 tangkapan etnik Rohingya antara 2025 hingga Mei 2026 melibatkan jenayah kekerasan serta harta benda.

Beliau berkata polis sentiasa mengambil tindakan penguatkuasaan yang konsisten dan berterusan serta tidak berdasarkan sentimen semasa. 

“Pihak polis sentiasa bekerjasama rapat dengan rakan agensi strategik contohnya Jabatan Imigresen dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kita bekerjasama bertukar-tukar maklumat dan melaksanakan operasi bersepadu,” katanya pada sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor, di sini ,hari ini. 

Shazeli berkata tahun lepas sebanyak enam operasi bersepadu telah dilaksanakan di seluruh negeri Selangor dalam menangani isu berkenaan. 

Mengulas mengenai isu perobohan penempatan haram, beliau berkata perbincangan perkara berkenaan sedang dilakukan bersama PBT terlibat agar tindakan lanjut yang lebih konstruktif dapat dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang. 

– BERNAMA


 

 

KEYWORDS
       
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2568771