ULAN BATOR, 15 Jun (Bernama-CMG) -- China dan Mongolia perlu terus berdiri bersama dalam menghadapi cabaran serta memperkukuh usaha membina komuniti berkongsi nasib berasaskan prinsip hidup bersama secara aman, saling menyokong dan kerjasama yang memberi manfaat bersama.
Perkara itu ditegaskan Menteri Luar China, Wang Yi, ketika sesi bertemu media bersama rakan sejawatnya dari Mongolia, Batmunkh Battsetseg, di sini pada Sabtu.
Wang berkata perbincangannya dengan Battsetseg amat berhasil dan menyaksikan kedua-dua pihak mencapai konsensus mengenai hubungan dua hala serta kerjasama serantau.
Beliau berkata ketika situasi global terus tidak menentu dan pelbagai cabaran semakin ketara, kedua-dua negara berikrar untuk mengekalkan hubungan kejiranan yang saling membantu serta saling percaya antara satu sama lain.
Wang turut memetik unjuran institusi antarabangsa bahawa setiap peningkatan satu mata peratusan dalam pertumbuhan ekonomi China akan menyumbang kepada peningkatan eksport sebanyak empat peratus serta 0.6 peratus pertumbuhan ekonomi Mongolia.
Menurut beliau, keadaan itu mencerminkan tahap kesalinglengkapan yang tinggi dalam hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
China juga menyokong usaha Mongolia memajukan pembangunan sosioekonomi negara itu, selain berkongsi peluang yang dijana hasil pembangunan China, katanya.
Menurut Wang, kedua-dua pihak sepakat memperkukuh koordinasi menerusi mekanisme pelbagai hala seperti Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di samping menyumbang kepada keamanan, pembangunan dan kerjasama serantau.
-- BERNAMA-CMG