DUNIA

Terusan Pinglu Pemangkin Pertumbuhan Perdagangan China-ASEAN, Buka Peluang Untuk Malaysia

15/06/2026 12:49 PM

Oleh Siti Zanariah Nor Zin

QINZHOU (China), 15 Jun (Bernama) – Terusan Pinglu, antara mercu tanda China, bakal memulakan operasi pada September, satu pencapaian penting yang dijangka mengukuhkan hubungan perdagangan antara China barat dan ASEAN.

Ia turut mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan Malaysia menerusi penambahbaikan ketersambungan dengan hab Qinzhou di Guangxi.

Terusan sepanjang 134.2 kilometer (km) yang juga laluan air sungai-ke-laut yang pertama di China, akan menghubungkan pedalaman Guangxi terus ke Teluk Beibu, menyediakan China barat laluan yang lebih pendek dan lebih cekap ke pasaran antarabangsa.

Kesalinghubungan yang dipertingkat itu dijangka mengukuhkan kerjasama perdagangan, logistik dan perindustrian yang berpusat di Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP), menguatkan lagi peranan Qinzhou sebagai pintu masuk antara China barat dan ASEAN.

Timbalan Pengurus Besar dan Ketua Jurutera Guangxi Pinglu Canal Construction Co., Ltd., Pan Jian berkata projek itu telah mencapai 96 peratus siap, dengan semua kerja pembinaan utama telah selesai. 

"Kerja-kerja pembinaan utama, termasuk hab navigasi, kejuruteraan saluran dan jambatan merentasi terusan, telah siap. Kami kini menjalankan pentauliahan air, ujian dan penentukuran kemudahan navigasi serta infrastruktur sokongan lain.

"Selepas terusan itu beroperasi, ia akan membuka laluan perkapalan yang paling singkat dan paling cekap untuk barat daya China mengakses laut. Ia dijangka menjana penjimatan kos logistik tahunan melebihi 50 bilion yuan," katanya kepada Bernama semasa lawatan ke tapak projek baru-baru ini.

Pan menambah kapasiti pengendalian kargo awal terusan itu diunjurkan mencecah hampir 80 juta tan setiap tahun, dengan kapasiti jangka panjang dijangka terus meningkat.

Siap kelak, terusan itu akan memendekkan jarak pengangkutan sungai pedalaman antara Guangxi, barat daya China dan ASEAN sebanyak lebih 560 kilometer berbanding laluan sedia ada melalui Pelabuhan Guangzhou.

Projek itu merupakan sebahagian daripada Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu China, satu inisiatif strategik bertujuan mengukuhkan kesalinghubungan antara China barat dan Asia Tenggara.

Bagi Malaysia, kepentingan terusan itu melangkaui pengangkutan, memandangkan Qinzhou yang menempatkan CMQIP, dijangka muncul sebagai pintu masuk yang lebih penting yang menghubungkan China barat dengan pasaran ASEAN sebaik sahaja laluan air itu beroperasi.

Dibina dengan anggaran kos 72.7 bilion yuan (RM43.5 bilion), terusan itu mengalir dari Muara Pingtang di Hengzhou, Nanning, melalui Daerah Lingshan di Qinzhou sebelum memasuki Teluk Beibu.

Dibina mengikut piawaian laluan air pedalaman Kelas I, ia boleh memuatkan kapal sehingga 5,000 tan dan menyepadukan fungsi perkapalan, bekalan air, pengairan, kawalan banjir dan pembaikan alam sekitar.

Terusan itu dijangka membantukan memudahkan hubungan ekonomi yang lebih erat antara ASEAN, Zon Ekonomi Teluk Beibu, Bulatan Ekonomi Chengdu-Chongqing dan Kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macao melalui pergerakan kargo yang lebih cekap dan integrasi rantaian bekalan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2568626