KOTA KINABALU, 12 Jun (Bernama) -- Konsep moments of unity menjadi teras Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2026 peringkat kebangsaan dengan memberi ruang dan peluang kepada rakyat berbilang kaum untuk berinteraksi serta menghayati semangat kebersamaan melalui pelbagai aktiviti berlandaskan perpaduan.
Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara yang berlangsung selama empat hari bermula semalam hingga Ahad di pekarangan Stadium Likas, di sini itu, merupakan antara pengisian utama di bawah Flagship Kembara Perpaduan bertemakan ‘Bersama Membina Negara Bangsa’.
Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Sabah Rina Ab Harun berkata Sambutan Minggu Perpaduan Negara membawa makna sangat signifikan dalam usaha memperkukuh keharmonian dan membentuk jati diri rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.
Bercakap kepada Bernama, Rina berkata sambutan itu juga bukan sekadar acara simbolik, tetapi wadah perpaduan dan tapak integrasi baharu yang berkesan hingga peringkat akar umbi sekali gus membolehkan rakyat menyelami dan menghayati nilai perpaduan dalam erti kata sebenar.
“Ini dapat dilihat menerusi pelaksanaan pelbagai program (sepanjang sambutan minggu perpaduan) termasuk pesta seni, sukan, wacana, program kebudayaan dan aktiviti komuniti. Kita mewujudkan ruang kebersamaan dan interaksi aktif merentasi kaum dan generasi.
“Inilah yang menjadi asas penting dalam merapatkan jurang sosial, membina empati dan menyemai semangat muhibah,” katanya.
Rina berkata SMP 2026 telah berlangsung sejak April hingga Mei lepas melibatkan lima zon iaitu Zon Timur, Zon Utara, Zon Selatan, Zon Tengah dan Zon Sarawak, sebelum penganjuran peringkat kebangsaan di Sabah.
Beliau berkata Sabah merupakan lokasi keempat penganjuran peringkat kebangsaan selepas Sarawak pada 2023, diikuti Johor (2024) dan Pulau Pinang pada tahun lepas.
Katanya, pelbagai aktiviti menarik merangkumi sukan, kebudayaan, kesenian serta pelbagai pameran termasuk pameran rumah etnik dan perkampungan rumah etnik akan dilaksanakan sepanjang empat hari program berkenaan berlangsung.
Beliau berkata SMP 2026 antara lain turut menampilkan karnival ekonomi rukun tetangga progresif, jualan kraftangan, jualan FoodUnites, Jualan Rahmah serta Jualan Agro MADANI, selain pelbagai persembahan nyanyian dan pertandingan seperti tarian etnik kreatif.
Dalam pada itu, Rina menggesa seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, wilayah atau latar belakang untuk menjadikan perpaduan sebagai tanggungjawab bersama serta warisan yang perlu dipelihara dengan penuh kesedaran dan keikhlasan.
Rina berkata perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi amalan hidup seharian yang bermula dengan sikap saling faham, hormat, terima dan meraikan antara satu sama lain.
“Dalam dunia semakin mencabar, kekuatan sebenar Malaysia terletak pada kebersamaan kita, dalam saat suka mahupun duka.
“Saya berharap agar Minggu Perpaduan ini menjadi titik tolak kepada gelombang kesedaran baharu terutama dalam kalangan generasi muda bahawa kasih sayang sesama rakyat, toleransi dan muafakat adalah aset terpenting untuk menjamin masa depan negara yang aman, makmur dan inklusif,” katanya.
Rina turut menjumput orang ramai khususnya di Sabah untuk hadir memeriahkan sambutan berkenaan bagi meraikan kepelbagaian budaya serta semangat perpaduan, di samping berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik bersama keluarga dengan kemasukan percuma.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dijadual merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Negara 2026 Peringkat Kebangsaan pada Sabtu ini.
-- BERNAMA