KOTA KINABALU, 10 Jun (Bernama) -- Sebanyak 341 individu ditahan dalam 12 operasi membanteras sindiket pusat panggilan di Sabah dan Labuan, dengan rampasan bernilai lebih RM1.10 juta sejak Januari hingga 8 Jun lepas.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata operasi khas itu dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sabah, hasil risikan dan pemantauan berterusan dengan kerjasama beberapa Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah.
Beliau berkata operasi berkenaan melibatkan empat serbuan di Kota Kinabalu, masing-masing tiga di Labuan dan Tawau serta satu di Sandakan dan satu di Penampang.
“Pecahan tangkapan mengikut warganegara pula melibatkan 303 warga China, 27 warga Malaysia, sembilan warga Vietnam serta seorang warga Taiwan dan seorang dari Laos dan daripada 12 serbuan yang telah dibuat, 11 kes telahpun didakwa di mahkamah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua individu yang ditahan berumur antara 17 hingga 60 tahun dan terdiri daripada 305 lelaki serta 36 wanita.
Jauteh berkata siasatan mendapati kebanyakan suspek mempunyai peranan tersusun dalam sindiket itu, termasuk sebagai penyelia operasi, petugas khidmat pelanggan, pengatur cara sistem, pengurus projek, pentadbir kewangan, penghantar wang serta individu yang berhubung secara langsung dengan mangsa.
Sindiket terbabit dikesan menjalankan pelbagai aktiviti jenayah komersial antaranya penipuan pelaburan tidak wujud, penipuan pelaburan saham palsu, jerat percintaan, penipuan pinjaman wang tidak wujud, penyamaran sebagai pegawai polis, perjudian dalam talian serta kegiatan menerima dan memindahkan wang hasil penipuan dalam talian.
Beliau berkata mangsa yang disasarkan bukan sahaja rakyat Malaysia, malah turut melibatkan warga negara lain termasuk Korea Selatan, Taiwan, Amerika Syarikat, Jepun, Brazil, Hong Kong dan Thailand.
Jauteh berkata perkembangan itu, menunjukkan terdapat usaha pihak tertentu untuk menjadikan Sabah sebagai pusat operasi pusat panggilan bagi menjalankan aktiviti jenayah, khususnya penipuan dalam talian.
“Polis turut merampas pelbagai peralatan dan peranti bernilai RM1.1 juta dalam operasi itu, termasuk 1,109 telefon bimbit, 128 komputer dan desktop, 20 komputer riba, 18 modem dan peranti Internet serta wang tunai RM210,265,” katanya.
Kes disiasat mengikut pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan kerana menipu dan pakatan jahat jenayah serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata JSJK Sabah akan terus memperhebat operasi risikan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan Sabah tidak dijadikan pusat operasi sindiket penipuan tempatan mahupun antarabangsa.
Jauteh turut meminta masyarakat segera menyalurkan maklumat kepada PDRM sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan, termasuk kehadiran warga asing di lokasi tertentu, bagi membolehkan polis menjalankan tinjauan dan siasatan lanjut.
-- BERNAMA