KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menyemak naik unjuran pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia untuk 2026 kepada 4.9 peratus daripada 4.1 peratus.
Ini berdasarkan pengembangan lebih kukuh daripada jangkaan sebanyak 8.2 peratus tahun ke tahun pada April, didorong oleh daya tahan berterusan dalam eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) dan permintaan domestik yang kukuh, menurut RHB IB dalam nota penyelidikannya.
Ia menyatakan sektor pembuatan akan disokong oleh permintaan E&E global yang berterusan, penggunaan domestik yang stabil dan langkah-langkah dasar yang bersasar untuk baki tahun ini.
"Di sebalik tinjauan kami yang konstruktif, kami kekal berwaspada terhadap risiko luaran, termasuk ketegangan di Asia Barat yang berterusan dan potensi peralihan dalam dasar tarif Amerika Syarikat (AS).
"Selain itu, harga komoditi dan tenaga yang lebih tinggi boleh meningkatkan kos bahan api, pengangkutan dan kos berkaitan pengeluaran yang lain, sekali gus menambah tekanan kos di seluruh sektor pembuatan," tambahnya.
Bagi pasaran domestik, RHB IB menyatakan penggunaan dan pelaburan swasta yang mampan dijangka terus menyokong aktiviti perindustrian, disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil dan keadaan pasaran buruh yang sihat.
Ia menyatakan dasar-dasar yang menggalakkan pengeluaran tempatan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkemungkinan besar akan memperkukuh rantaian bekalan domestik.
Sementara itu, insentif yang bersasar untuk sektor berimpak tinggi seperti farmaseutikal, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan industri berkaitan kemampanan dijangka meningkatkan lagi nilai tambah pembuatan serta menyokong naik taraf teknologi.
"Pada masa yang sama, industri berorientasikan eksport dijangka terus disokong oleh permintaan luaran, terutamanya daripada permintaan E&E yang berterusan walaupun prospek itu kekal tertakluk kepada perkembangan ekonomi dan perdagangan global.
"Kitaran menaik teknologi global yang sedang berterusan dijangka memperkukuh kluster E&E, dipacu oleh pengembangan teknologi, pendigitalan dan penerapan AI yang dipercepatkan," menurutnya.
Walaupun mengekalkan pandangan yang konstruktif terhadap prospek sektor pembuatan, bank pelaburan itu tetap peka terhadap perkembangan ketegangan geopolitik dan dasar tarif AS, serta potensi implikasinya ke atas ekonomi Malaysia.
Ia menyatakan harga tenaga yang lebih tinggi boleh menjejaskan aktiviti ekonomi melalui peningkatan kos pengeluaran dan pengangkutan serta pengurangan kuasa beli isi rumah.
RHB IB memaklumkan harga pengeluar Malaysia menunjukkan sensitiviti terhadap pergerakan harga minyak mentah global, dengan kedua-dua kesan pelepasan kos untuk jangka pendek dan jangka panjang.
"Dalam tempoh terdekat, kenaikan sebanyak 1.0 peratus dalam harga minyak mentah Brent dianggarkan menaikkan IPP sekitar 0.03 peratus bulan ke bulan, mencerminkan pemindahan sebahagian daripada kos tenaga yang lebih tinggi kepada pengeluar domestik.
"Bagi jangka panjang, kenaikan berterusan Brent sebanyak 1.0 peratus akan menyebabkan peningkatan IPP sekitar 0.2 peratus, memandangkan tekanan kos tenaga yang berpanjangan menular melalui rantaian bekalan dan meningkatkan keseluruhan kos pengeluaran," tambahnya.
-- BERNAMA