KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Peserta program Fun Walk HAWANA 2026 dipelawa menyertai pertandingan fotografi Instagram dengan memuat naik gambar paling menarik untuk memenangi pelbagai hadiah, sekali gus memeriahkan program yang akan berlangsung pada 14 Jun ini.
Pertandingan itu memberi peluang kepada peserta merakam momen paling menarik, kreatif dan ceria sepanjang acara sebelum memuat naik gambar berkenaan ke Instagram masing-masing.
Sebanyak lima kategori dipertandingkan, iaitu gambar paling ceria, kostum terbaik, peserta paling sporting, gambar berkumpulan terbaik serta swafoto (selfie) terbaik.
Bagi menyertai pertandingan itu, peserta hanya perlu memuat naik gambar pilihan mereka di Instagram dengan menggunakan tanda pagar #FWH2026 #FunWalkHAWANA2026 #JomJalan #SihatBersama dan #HAWANA2026.
Peserta juga perlu memastikan akaun Instagram masing-masing ditetapkan kepada mod awam bagi membolehkan penyertaan dilihat dan dinilai oleh pihak penganjur.
Program berjalan santai anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu bertujuan menggalakkan masyarakat dan pengamal media mengamalkan gaya hidup sihat dalam suasana santai serta mesra komuniti.
Fun Walk HAWANA antara pengisian sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 selain Forum Media dan Pesta Pantun HAWANA-DBP yang telah berlangsung sebelum ini.
Majlis kemuncak HAWANA 2026 pula dijadualkan berlangsung pada 20 Jun di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang dan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sempena sambutan itu, Karnival Riuh Pi HAWANA anjuran MyCreative Ventures turut diadakan selama tiga hari bermula 19 Jun dengan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung.
Bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, HAWANA 2026 yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana menjadi platform utama menghargai sumbangan, dedikasi dan profesionalisme pengamal media di negara ini.
-- BERNAMA