IPOH, 11 Jun (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan penilaian terhadap keadaan jambatan kayu di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Tapah, sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat berhubung perkara itu.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata cadangan penambahbaikan infrastruktur berkenaan perlu dinilai berdasarkan keperluan sebenar termasuk jumlah pengguna serta jenis penggunaan kenderaan.
“Kita membincangkan perkara ini dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) semalam dan perkara sama juga pernah dibawa oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang Datuk Dr Mah Hang Soon.
“Setiap permohonan akan diteliti terlebih dahulu dari segi justifikasi, termasuk jumlah pengguna yang akan menggunakan kemudahan itu, kekerapan kenderaan berat dan kereta melaluinya. Jika sangat kurang, maka tidak berbaloi untuk membina jambatan yang canggih, memadai jambatan gantung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Falak Peringkat Negeri Perak bagi Tahun 1448H/2026 di sini hari ini.
Pada 9 Jun lepas, ADUN Chenderiang Choong Shin Heng menjelaskan beliau akan mengemukakan permohonan pembinaan jambatan baharu di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu bagi menggantikan kemudahan sedia ada yang uzur dan hanya dibina menggunakan bahan asas seperti papan.
Jambatan itu merupakan lokasi penemuan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, Sabtu lepas yang sebelum itu hilang selama 14 hari di kawasan Gunung Batu Putih, Tapah.
Mengenai sumbangan kepada Orang Asli yang menemukan Jaslinda, Saarani berkata perkara itu sedang diperhalusi selain laporan rasmi berhubung insiden tersebut masih belum diperoleh.
-- BERNAMA