AM

Had Umur Media Sosial 16 Tahun Langkah Kritikal Lindung Remaja

07/06/2026 03:05 PM

KOTA KINABALU, 7 Jun (Bernama) -- Keperluan mengekang akses media sosial bebas bagi golongan bawah 16 tahun semakin kritikal apabila remaja di Malaysia kini terdedah kepada ancaman siber, terutamanya pengantunan seksual (sexual grooming) dan kandungan ganas.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Madya Dr Haryati Abdul Karim berkata pelaksanaan had umur minimum amat wajar bagi melindungi keselamatan dan perkembangan generasi muda di negara ini.

Beliau berkata kajian Communication for Development (C4D) UMS dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendapati kebanyakan kanak-kanak pada usia seawal 13 tahun sudah memiliki telefon pintar dan bebas mengakses media sosial menyebabkan ancaman itu sukar dibendung.

“Tanpa kawalan yang ketat, golongan remaja berisiko tinggi terdedah kepada pelbagai kandungan berbahaya termasuk elemen keganasan, pornografi, penipuan dalam talian serta penyebaran ideologi ekstrem seperti rasialisme dan Islamofobia,” katanya kepada Bernama.

Kajian C4D UMS-UNICEF juga mendapati golongan remaja di negara ini terdedah kepada sekurang-kurangnya enam jenis ancaman siber utama termasuk kandungan ganas yang boleh mempengaruhi tingkah laku serta risiko pengantunan seksual menerusi interaksi dalam talian.

Bermula 1 Jun, Malaysia menguatkuasakan syarat pengesahan umur bagi pendaftaran akaun media sosial menerusi pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi melindungi mereka di bawah 16 tahun. 

Haryati berkata penetapan had umur 16 tahun dilihat sebagai batasan yang wajar memandangkan individu berusia 17 tahun dan ke atas lazimnya mempunyai tahap kematangan lebih baik untuk menilai serta menapis kandungan yang diterima.

Pendekatan penguatkuasaan itu juga, menurut beliau selari dengan tindakan perundangan oleh beberapa negara seperti Australia yang telah menggubal undang-undang melarang individu berusia bawah 16 tahun membuka akaun media sosial serta mengenakan penalti terhadap pelanggaran peraturan tersebut.

“Bagaimanapun pelaksanaan had umur serta instrumen perundangan semata-mata bukanlah penyelesaian mutlak memandangkan remaja masih berupaya memintas sekatan berkenaan menerusi teknologi seperti Rangkaian Maya Peribadi,” katanya.

Oleh itu, Haryati menegaskan peranan ibu bapa, keluarga dan institusi pendidikan amat penting dalam meningkatkan literasi digital selain memerlukan kerjasama lebih erat daripada pengendali platform untuk memperkukuh mekanisme pengesahan umur serta penapisan kandungan yang lebih berkesan.

Sementara itu, mekanik dari Ranau Marius Kinsik, 46, berkata penetapan had umur itu sebagai “perisai” untuk ibu bapa bertegas melarang anak di bawah usia itu memiliki akaun media sosial sendiri, yang turut digunakannya dalam mengawal anak bongsunya yang berusia 12 tahun.

“Dua anak saya berusia 18 dan 20 tahun bertuah kerana memasuki dunia digital ketika media sosial belum seperti zaman sekarang. Cabaran memantau anak bongsu jauh lebih membimbangkan kerana lambakan kandungan toksik serta ancaman pemangsa siber yang semakin licik,” katanya.

Senada ialah guru sekolah rendah dari Penampang Tracey Justine, 44, yang menyifatkan sekatan itu amat penting, mengambil kira perspektif dirinya sebagai ibu yang memiliki dua anak berusia 11 dan 15 tahun, bagi menyelamatkan kesihatan mental generasi muda.

“Sebagai guru dan ibu, saya lihat anak zaman sekarang berhadapan tekanan digital yang jauh lebih agresif. Sekatan ini sekurang-kurangnya memberi ruang untuk emosi dan minda anak saya yang masih di bawah umur, membesar secara semula jadi tanpa gangguan realiti palsu dunia siber,” katanya.

Selain itu, Marius dan Tracey sependapat bahawa undang-undang itu juga akan berjaya jika ahli keluarga tidak mengambil jalan mudah menjadikan gajet sebagai “pengasuh digital” anak di rumah, sebaliknya kembali mengetatkan kawalan disiplin.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565663