KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Karnival Riuh Pi HAWANA bakal menjadi platform utama bagi sesi dialog, penceritaan serta perkongsian ilmu yang akan menyumbang kepada pemerkasaan bidang kewartawanan dan industri kreatif.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures Zainol Haqim Zainol Rashid berkata penganjuran karnival itu bertepatan dengan tema Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 iaitu “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”.
Beliau berkata karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 Jun itu menggabungkan elemen seni kreatif dengan sesi dialog, selain turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai bagi setiap peringkat umur.
Antara pengisiannya ialah bengkel seni cyanotype printmaking, albumen printing dan stone carving, yang merupakan seni ukiran tradisional Asia Timur, selain penyertaan jenama fesyen, aksesori serta produk kreatif tempatan dalam segmen marketplace.
“Riuh Pi HAWANA adalah peluang besar untuk memperkukuh dan menyemarakkan lagi semangat cintakan seni dan budaya dalam kalangan pengunjung, khususnya di Pulau Pinang yang terkenal dengan kekayaan budaya,” katanya pada program Fokus 30 Riuh Pi HAWANA di Bernama Radio, di sini, hari ini.
Zainol Haqim berkata karnival itu juga mampu merancakkan penyertaan penggiat industri kreatif tempatan melalui penganjuran aktiviti marketplace dan persembahan artis, sekali gus membantu mereka memperluaskan jaringan serta memperkenalkan karya dengan lebih meluas.
Beliau berkata Riuh Pi HAWANA yang akan menghimpunkan lebih 24 jenama produk kreatif tempatan serta 20 vendor makanan dan minuman, turut dimeriahkan dengan 16 persembahan pentas yang menampilkan artis tempatan seperti Sakura Band, Kaka, Budak Nakal Hujung Simpang dan Chelsea Ng.
Dalam pada itu, beliau berkata seramai 30,000 pengunjung dijangka memeriahkan Karnival Riuh Pi HAWANA yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang, dengan kemasukan adalah percuma.
Sementara itu, beliau berkata setakat ini MyCreative Ventures telah menganjurkan sebanyak 85 edisi Riuh dan berjaya menarik hampir satu juta pengunjung dengan penyertaan lebih 10,000 penggiat industri kreatif, selain turut merancang menganjurkan Riuh Merdeka serta beberapa siri marketplace dan jelajah Riuh di lokasi terpilih pada tahun ini.
HAWANA, perhimpunan terbesar komuniti media negara ini menjadi medan penting bagi memperkukuh profesionalisme wartawan dalam mendepani landskap komunikasi yang kian mencabar.
Acara itu yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jun ini, dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara, sekali gus bertindak sebagai platform strategik untuk mencetuskan idea segar serta menentukan hala tuju kewartawanan semasa.
HAWANA yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, adalah platform kemuncak dalam menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di Malaysia.
-- BERNAMA