AM

MCMC Sokong RTS Link Menerusi Penyediaan Infrastruktur Komunikasi Kukuh

10/06/2026 10:18 PM

JOHOR BAHRU, 10 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited memberikan sokongan penuh kepada Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link menerusi penyediaan infrastruktur komunikasi digital yang kukuh bagi memastikan operasi rangkaian rel rentas sempadan itu berjalan lancar.

Menurut hantaran di Facebook rasmi RTS Link JB-SG, Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahya menegaskan sistem telekomunikasi yang kukuh serta kerjasama berkesan antara pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan kejayaan pelaksanaan dan operasi RTS Link pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja delegasi MCMC ke tapak projek RTS Link di Stesen Bukit Chagar dan Bangunan Sultan Ibrahim semalam bagi meninjau sendiri kemajuan serta perkembangan terkini projek berkenaan.

Delegasi MCMC disambut oleh Pengarah Projek RTS Link bagi Perkhidmatan Elektrikal, Mekanikal dan Bangunan (EMBS) Ardy Suhaidy, serta Ketua Kesihatan, Alam Sekitar, Keselamatan dan Sekuriti (CHESS), Syahmarul Zulaihan Marlap.

Lawatan kerja itu dimulakan dengan taklimat menyeluruh mengenai projek di Pusat Maklumat Projek (PIC) di Menara JLand, termasuk perkembangan terkini mengenai kemajuan dan pencapaian utama projek sistem rel tersebut.

Selepas sesi taklimat, delegasi MCMC dibawa melawat ke tapak projek di Stesen Bukit Chagar dan kompleks Bangunan Sultan Ibrahim.

Dalam lawatan tersebut, mereka diberi penerangan mengenai kemudahan utama yang disediakan, termasuk dewan pemeriksaan penumpang, bilik kawalan operasi, sistem “autogate”, kawasan pemeriksaan bagasi serta ruang pejabat yang akan menempatkan pelbagai agensi di kompleks berkenaan.

Projek RTS Link kekal berada di landasan yang tepat untuk meningkatkan hubungan rentas sempadan, mempertingkat kecekapan perjalanan harian serta mengukuhkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Singapura menerusi sistem pengangkutan rel yang selamat, dipercayai dan mampan.

Ketika ini, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari merentasi Tambak Johor untuk bekerja di Singapura.

RTS Link yang dijadual memulakan operasi pada Januari 2027, dijangka berupaya membawa hingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura dalam masa kira-kira lima minit.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2567159