AM

Malaysia Komited Terhadap Tadbir Urus Digital, Keupayaan AI Negara - Teo

11/06/2026 12:07 AM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Kerajaan komited untuk terus memperkukuh keselamatan dalam talian, meningkatkan literasi digital serta melabur dalam keupayaan kecerdasan buatan (AI) negara bagi memastikan kepentingan Malaysia terus terpelihara.

Menyampaikan ucaptama bagi pihak Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada Persidangan Antarabangsa Perhubungan Awam Kuala Lumpur ke-8 (KLIP 8), Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menegaskan komitmen kerajaan adalah untuk memperkukuh tadbir urus digital, kebertanggungjawaban platform dan keselamatan dalam talian.

“Masa depan digital Malaysia mesti dibina berasaskan kepercayaan, kepercayaan terhadap maklumat dan platform serta keyakinan bahawa teknologi berfungsi untuk manfaat rakyat, bukannya memudaratkan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Teo berkata seiring perkembangan AI dan platform digital, tanggungjawab utama adalah memastikan tadbir urus yang kukuh, kerbertanggungjawaban platform serta perlindungan terhadap kanak-kanak dan komuniti.

Beliau berkata bukan teknologi itu yang menjadi masalah tetapi risiko yang timbul apabila sistem yang amat berkuasa beroperasi tanpa ketelusan dan garis panduan etika yang sewajarnya.

“Sebab itu kerajaan komited untuk terus memperkukuh keselamatan dalam talian, meningkatkan literasi digital serta melabur dalam keupayaan AI negara bagi memastikan kepentingan Malaysia terus terpelihara,” katanya.

Persidangan itu yang bertemakan “Zero Hour: The Trust Crisis-PR in an AI-Driven World” memberi tumpuan kepada usaha membina semula kepercayaan dalam cabaran penyebaran maklumat palsu, manipulasi digital dan perubahan teknologi yang pesat.

Dianjurkan oleh World Communications, KLIP 8 menghimpunkan lebih 300 peserta dari Malaysia, ASEAN dan seluruh dunia, mewakili syarikat multinasional, kementerian, organisasi media serta persatuan perhubungan awam serantau.

Sementara itu, Pengarah Urusan World Communications Jaffri Amin Osman berkata komunikasi yang dipacu AI, pengurusan isu secara ramalan serta tindak balas krisis masa nyata kini mengubah landskap industri perhubungan awam.

“KLIP diwujudkan bagi membantu pengamal industri menyesuaikan diri dengan realiti baharu ini dengan lebih jelas dan yakin. Ketika Malaysia dan ASEAN melangkah ke era yang dipacu AI, pemimpin komunikasi perlu berkembang daripada sekadar pencerita kepada penasihat strategik yang membimbing organisasi berlandaskan wawasan, integriti dan matlamat yang jelas,” katanya dalam kenyataan sama.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2567181