Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini dipacu oleh anggaran eksport yang lebih kukuh serta pengeluaran yang lebih rendah, kata seorang peniaga.
Katanya, ia berlaku selepas data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan penurunan pengeluaran dari bulan ke bulan.
Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata penurunan dalam pengeluaran minyak sawit yang dilaporkan oleh MPOB dijangka menyokong harga MSM dalam jangka masa terdekat.
"Kami mendapati paras sokongan pada RM4,450 setiap tan dan paras rintangan pada RM4,600 setiap tan," katanya kepada Bernama.
Menurut pemeriksa kargo Amspec Agri Malaysia, eksport minyak sawit negara meningkat 4.87 peratus atau 17,518 tan kepada 376,971 tan bagi tempoh 1 hingga 10 Jun daripada 359,453 tan dalam tempoh yang sama pada Mei.
Sementara itu, syarikat pemeriksaan bebas Intertek Testing Services melaporkan eksport meningkat 3.50 peratus atau 14,445 tan kepada 427,255 tan bagi tempoh 1 hingga 10 Jun daripada 412,810 tan pada 1 hingga 10 Mei.
Pada penutup dagangan, kontrak Jun 2026 susut RM4 kepada RM4,450 setiap tan manakala kontrak Julai 2026 berkembang RM14 kepada RM4,498 setiap tan dan kontrak Ogos 2026 naik RM10 kepada RM4,538 setiap tan.
Kontrak September 2026, Oktober 2026 dan November 2026 masing-masing menokok RM12 kepada RM4,578, RM4,615 dan RM4,649 setiap tan.
Jumlah dagangan melonjak kepada 96,730 lot daripada 51,506 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 285,884 kontrak daripada 287,862 kontrak sebelumnya.
Sementara itu, harga fizikal MSM bagi Jun Selatan kekal tidak berubah pada RM4,500 setiap tan.
-- BERNAMA