AM

KUSKOP Salur RM40 Juta Kepada Usahawan Johor Sempena Karnival HPM

09/06/2026 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan hampir RM40 juta kepada usahawan, syarikat dan koperasi di Johor bersempena dengan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Tahun 2026 dan Mini Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Negeri Johor.

KUSKOP menerusi kenyataan hari ini memaklumkan penyerahan itu disampaikan Menteri berkenaan Steven Sim dalam bentuk cek cura pembiayaan, geran dan bantuan kewangan.

“Karnival HPM merupakan inisiatif KUSKOP di bawah agenda HPM yang dicetuskan oleh menteri bagi memperkukuh budaya keusahawanan, memperluas jaringan perniagaan serta meningkatkan akses perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta koperasi kepada pelbagai bentuk sokongan pembangunan perniagaan.

“Karnival ini yang berlangsung dari Jumaat hingga Ahad lepas berjaya merekodkan jualan produk usahawan sebanyak RM240,000, menarik 11,563 pengunjung serta membuka peluang padanan perniagaan bernilai hingga RM6.394 juta yang melibatkan 19 usahawan,” menurut kenyataan itu.

KUSKOP memaklumkan program berkenaan turut menyediakan platform pameran, promosi produk tempatan dan sesi bimbingan keusahawanan.

Selain itu, menurut kenyataan tersebut sebagai rakan strategik karnival, TikTok Shop menyokong usaha pendigitalan PMKS menerusi pelbagai inisiatif pemerkasaan usahawan.

Kenyataan itu memaklumkan karnival berkenaan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Top 5 Jutawan TikTok Shop kepada usahawan di bawah TEKUN Nasional yang berjaya mencatat jualan melebihi RM1 juta dalam tempoh setahun.

“Bersempena dengan program ini juga, KUSKOP turut menganjurkan Program Halal Sukses KUSKOP Johor pada Sabtu dan Ahad lepas dengan kerjasama Johor Halal Development Corporation (JHDC) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

“Program ini memberikan pendedahan berhubung Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030, tatacara Halal Green Lane Johor, peluang jaminan pembiayaan perniagaan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), pemasaran digital oleh Maxis serta strategi perniagaan melalui TikTok Shop,” menurut kenyataan itu.

Johor ialah lokasi pertama Karnival HPM tahun ini, manakala Karnival HPM Tahun 2026 dan Mini Showcase SDSI Peringkat Kebangsaan akan berlangsung di Morten Walk, Melaka dari 19 hingga 21 Jun ini. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2566510