KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia menggantung jualan singkat harian (IDSS) Tanco Holdings Bhd untuk baki sesi dagangan hari ini, hari kedua berturut-turut sekatan dikenakan selepas saham itu melanggar had harganya.
Menurut bursa dalam makluman, penggantungan itu berikutan harga saham pemaju hartanah tersebut merosot lebih daripada 15 peratus atau 15 sen daripada harga rujukannya.
Jualan singkat saham Tanco Holdings di bawah rangka kerja IDSS akan disambung semula pada 8.30 pagi esok.
Sehingga 10.07 pagi, saham Tanco Holdings menurun 30 sen kepada 50 sen, dengan 33.59 juta saham bertukar tangan.
Pada Selasa, anak syarikat milik penuh tidak langsung Tanco, Tanco Dot Com Sdn Bhd, memeterai memorandum persefahaman dengan China Mobile International Ltd yang berpangkalan di Hong Kong untuk meneroka pembangunan pusat data dengan beban teknologi maklumat 50 megawatt (MW) di Negeri Sembilan.
Pada Isnin, Bursa Malaysia Securities mengeluarkan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) kepada pemaju hartanah tersebut berikutan penurunan mendadak harga sahamnya.
-- BERNAMA