KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Pengeluaran getah asli (NR) Malaysia menyusut sebanyak 8.8 peratus kepada 18,515 tan pada April 2026 daripada 20,310 tan pada Mac 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran getah asli pada April 2026 terutamanya disumbangkan oleh pekebun kecil (88.5 peratus) dan estet (11.5 peratus).
“Bagi perbandingan tahun ke tahun, pengeluaran getah asli meningkat 2.8 peratus daripada 18,008 tan pada April 2025,” katanya.
Menurut DOSM, jumlah stok getah asli berkurang sebanyak 6.2 peratus bulan ke bulan kepada 130,698 tan (Mac 2026: 139,387 tan).
“Kilang pemproses getah menyumbang stok sebanyak 76.9 peratus, diikuti kilang pengguna getah (23.0 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” katanya.
Sementara itu, eksport getah asli Malaysia meningkat sebanyak 12.7 peratus bulan ke bulan kepada 37,360 tan pada April 2026 (Mac 2026: 33,137 tan).
DOSM berkata China kekal sebagai destinasi eksport utama getah asli, iaitu sebanyak 50.8 peratus daripada jumlah eksport pada April 2026, diikuti oleh Jerman (15.8 peratus), Amerika Syarikat (4.7 peratus), Emiriah Arab Bersatu (4.2 peratus) dan Portugal (3.7 peratus).
“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.
“Produk sarung tangan getah menjadi eksport utama dengan bernilai RM1.4 bilion pada April 2026, iaitu meningkat 52.4 peratus bulan ke bulan (Mac 2026: RM920 juta),” katanya.
Dari segi harga purata bulanan, lateks pekat meningkat kepada 754.69 sen sekilogram pada April 2026 berbanding 665.40 sen sekilogram pada Mac 2026, iaitu peningkatan sebanyak 13.4 peratus bulan ke bulan.
Sementara itu, harga purata bulanan bagi sekerap meningkat sebanyak 5.7 peratus bulan ke bulan kepada 691.26 sen sekilogram pada April 2026 (Mac 2026: 654.27 sen sekilogram).
-- BERNAMA
TAG:
DHBDD DHBDD SPSA RIN