IPOH, 9 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 170 kilogram (kg) minyak masak peket 1kg menerusi Ops Tiris 4.0 di Kawasan Perindustrian Lahat di sini, semalam.
Pengarah KPDN negeri Datuk Kamalludin Ismail berkata berdasarkan aduan orang awam, pihaknya melakukan serbuan kira-kira 3.30 petang di sebuah bilik yang dijadikan stor tempat penyimpanan minyak masak peket 1kg.
“Semasa serbuan dibuat, sejumlah 170kg minyak masak peket 1kg pelbagai jenama, telah ditemukan di bilik tersebut.
“Seorang lelaki warga Bangladesh mengaku sebagai penyewa premis kediaman tersebut memaklumkan bahawa minyak masak peket yang ditemukan itu bukan miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamalludin berkata lelaki berumur 39 tahun yang merupakan penyewa bilik tersebut ditahan bagi membantu siasatan dan lelaki tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah daripada pengawal bekalan bagi urusan melibatkan barang kawalan.
Beliau berkata kesemua minyak masak peket 1kg pelbagai jenama dan beberapa dokumen berkaitan dirampas dengan nilai keseluruhan berjumlah RM425.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
-- BERNAMA